Membesar dengan propaganda media Barat, pengasas Muslim Girl angkat suara global wanita Islam


  • Sukses
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Amani mendirikan Muslim Girl sebagai jawapan kepada satu persoalan besar yang jarang diberi perhatian serius. — Instagram/amani

LEBIH sedekad lalu, seorang remaja berketurunan Palestin-Amerika berusia 17 tahun mengambil keputusan mencipta ruang buat dirinya dan wanita beragama Islam lain, yang selama ini terpinggir dalam landskap media arus perdana.

Langkah kecil itu kini berkembang menjadi Muslim Girl, sebuah platform digital berpengaruh yang menjadi suara global wanita Islam di alam maya.

Dibesarkan di New Jersey dengan akar Palestin, pengasasnya, Amani Al-Khatahtbeh mendirikan Muslim Girl sebagai jawapan kepada satu persoalan besar yang jarang diberi perhatian serius.

BACA LAGI: [VIDEO] Hampir tolak tawaran ke sekolah undang-undang, Shaheed Fatima diangkat perintis dunia guaman, pernah ketuai perbicaraan Putera Harry

BACA LAGI: Marina imbau detik cemas Tun Mahathir jalani 2 pembedahan jantung, syukur bapa masih sihat di usia 100 tahun

 

 

"Apakah makna menjadi seorang wanita Islam dalam dunia internet?

“Perkara paling berkuasa tentang media sosial dan kewujudan dalam talian ialah ia menghapuskan sempadan antara kita sepenuhnya,” katanya dalam wawancara bersama CairoScene.

Amani mengakui, dirinya tidak pernah dapat lari daripada kesan propaganda media Barat yang cuba mentafsir identiti dirinya dari luar.

“Saya membesar dengan terpaksa menelan bulat-bulat propaganda media yang mahu memberitahu siapa dan dari mana saya berasal,” ujarnya.

Melalui Muslim Girl, Amani bukan sahaja membina wadah untuk menyuarakan naratif wanita Islam, malah membina satu komuniti dan arkib digital tentang evolusi identiti Muslim muda pada era pasca serangan 9/11.

Untuk rekod, serangan pada 11 September 2001 juga digelar 9/11 ialah empat siri serangan berani mati oleh al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat (AS).

Amani mengakui tidak pernah dapat lari daripada kesan propaganda media Barat yang cuba mentafsir identiti dirinya dari luar. — Instagram/amani

Kini, beliau bukan lagi sekadar pengasas blog, sebaliknya Amani diiktiraf sebagai 'media titan' oleh The New York Times dan mengetuai platform yang diiktiraf sebagai yang terbesar untuk wanita Islam di AS.

Namun, landskap berubah drastik pasca 7 Oktober 2023, susulan serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza.

Muslim Girl mengambil pendirian jelas memihak kepada hak asasi rakyat Palestin, ia nyata satu keputusan yang mengundang risiko besar buat platform berkenaan.

“Kami kehilangan banyak penajaan, rakan kerjasama yang kononnya sekutu tiba-tiba menarik diri.

“Ia mencetuskan satu titik muhasabah besar, tentang apakah nilai dan keutamaan sebenar kami sebagai sebuah organisasi?” soalnya.

Tindakan seperti penapisan, pemotongan dana dan sikap membisu syarikat-syarikat besar tidak mematahkan semangatnya.

Sebaliknya, Amani melihat krisis tersebut sebagai peluang untuk membawa Muslim Girl ke fasa baharu.

Muslim Girl menjadi pemangkin perubahan dalam naratif global mengenai wanita Islam. — Instagram/amani

Fasa yang lebih tegas dalam misi keadilan, berpaksikan undang-undang antarabangsa dan advokasi jangka panjang.

“Kita hidup dalam dunia yang mana mahkamah antarabangsa kini menggunakan media sosial dan blog sebagai bahan bukti buat kali pertama,” jelasnya.

Menariknya, blog peribadi yang suatu ketika dahulu pernah diperlekehkan, bahkan dijadikan bahan ketawa dalam permohonan kerja, kini menjadi asas akademik buat Amani yang menuntut dalam bidang undang-undang, hak asasi manusia antarabangsa di Universiti Oxford.

“Saya teruja untuk melangkah ke era baharu ini, kita boleh benar-benar mengukuhkan kerja advokasi dan mempertahankan kesucian komuniti pada masa hadapan,” kongsi beliau.

Dengan lebih 1.5 juta pengikut di pelbagai platform, Muslim Girl bukan sahaja terus kekal relevan, malah menjadi pemangkin perubahan dalam naratif global mengenai wanita Islam.

Pada saat institusi dan struktur tradisional digugat, Amani dan Muslim Girl kekal dengan matlamat awalnya, yakni untuk mewakili dan menjadi gadis Muslim itu, baik dalam talian mahupun di dunia nyata. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram