
BAPA kepada pempengaruh kanak-kanak yang dikenali sebagai Abang Aji menegaskan bahawa rutin pemakanan anaknya sentiasa dipantau rapi oleh keluarga.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas teguran seorang jurulatih kecergasan bernama Tareq Fit yang menyatakan kebimbangan terhadap keadaan fizikal dan cara pemakanan kanak-kanak berkenaan.
Menurut bapa tersebut, anaknya yang baru berusia empat tahun itu hanya makan dua kali sehari, tidak mengambil makanan terproses, gula-gula mahupun aiskrim dan jarang sekali diberi makanan ringan.
BACA LAGI: Obesiti bukan hanya berat badan, risiko buah pinggang rosak, anak muda ramai obes sebab pemakanan
BACA LAGI: Permainan kad 'Happy Diners' galak tabiat pemakanan sihat untuk kanak-anak
"Orang yang yang paling dekat dengan Abang Aji ayah dia kan? Jadi ayah dia pantau semua pemakanan.
"Video makan itu hanya kandungan yang diedit. Tak betul pun, makanan yang Abang Aji makan sihat, dia makan tak banyak pun.
"Agak-agaklah, warga asing itu pun (kalau) nak buat kandungan ambillah video lain," katanya menerusi rakaman yang dimuat naik di TikTok miliknya, wan belida 1 pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, video yang memperlihatkan anaknya ‘melahap’ makanan atau minum susu secara berlebihan hanyalah lakonan demi hiburan di media sosial semata-mata.
Rakaman tersebut tegasnya, telah disunting agar kelihatan lebih menarik dan dramatik.
“Macam dia minum susu dalam iklan itu, dia sedut keluar balik. Saya ini ayah, saya akan jaga dia.
"Bagi video ini sampai dekat warga asing itu, jangan risau kalau nak jaga pemakanan, ayah Abang Haji ini pun dah lama jaga pemakanan,” katanya.
Tambahnya lagi, sebelum ini beliau lebih suka berkongsi video berbentuk komedi dan menghiburkan, namun apabila rakaman anaknya menjadi bahan teguran yang tidak berasas, beliau berasa tanggungjawab untuk menjernihkan keadaan.
“Kalau tak suka, jangan tengok tapi kalau saya tak post, ramai pula yang mesej tanya mana video Abang Aji. Jadi saya post untuk hiburkan orang,” jelasnya.
Kisah Abang Aji sebelum ini mencuri perhatian warga maya dengan gaya bersahajanya dalam video-video yang dimuat naik ke media sosial, sehingga ada yang menimbulkan kebimbangan mengenai kesihatan dan gaya pemakanannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram