
KETIKA dunia memberi fokus pada perbicaraan Putera Harry di Mahkamah Tinggi London, tumpuan turut terarah kepada individu yang mengetuai pasukan guamannya, Shaheed Fatima.
Fatima, 48, mencatat sejarah apabila menjadi wanita berhijab pertama diangkat sebagai Queen’s Counsel (QC) pada 2016, kini dikenali sebagai King’s Counsel (KC) selepas pertabalan Raja Charles III.
Dalam perbicaraan pada April lalu, Fatima mengetuai hujahan mencabar keputusan kerajaan United Kingdom (UK) berhubung penarikan pembiayaan perlindungan keselamatan Putera Harry, yang sebelum ini ditanggung pembayar cukai.
BACA LAGI: Lari dari 'bayangan' bapa, Master Kay atur langkah bina empayar rawatan alternatif sendiri
BACA LAGI: Dari temu bual ke rakan kongsi spa, Tyra dan Raja Amanda mampu raih lebih RM100,000 sebulan
Beliau turut mendedahkan ancaman oleh kumpulan militan Al-Qaeda yang menyeru pembunuhan Putera Harry selepas pengunduran pasangan diraja itu daripada tugasan rasmi (Megxit) pada 2020.
Fatima berhujah, Putera Harry menerima layanan tidak setara dan tidak adil selepas pengunduran tersebut selain keselamatannya kini dalam bahaya ketika berada di UK.
Bukan calang-calang peguam
Fatima kini berkhidmat di firma guaman terkemuka Blackstone Chambers dan dikenali sebagai pakar dalam pelbagai bidang termasuk undang-undang komersial, hak asasi manusia, undang-undang awam serta antarabangsa.
Kerjayanya dalam bidang guaman bermula cemerlang sejak awal. Pada 2005, beliau disenaraikan oleh jurnal The Lawyer sebagai antara enam bintang muda bawah 30 tahun.
Dua tahun kemudian, beliau dinamakan The Times sebagai antara 10 Bintang Masa Depan Bar, selain turut menerima Anugerah Peguam Hak Asasi Manusia Terbaik oleh Liberty dan Justice.
Pengiktirafan terhadap keunggulan beliau turut datang daripada rakan profesional yang menyifatkannya sebagai 'sangat tajam', bekerja keras dan amat disukai klien kerana ketelusan serta ketegasan nasihatnya.
Panduan undang-undang Chambers and Partners malah menyifatkannya sebagai calon Hakim Mahkamah Agung.
Fatima (kiri) mengetuai hujahan mencabar keputusan kerajaan UK berhubung penarikan pembiayaan perlindungan keselamatan Putera Harry. — Agensi
Klien profil tinggi
Antara klien terdahulunya termasuk bekas pemilik kelab bola sepak Newcastle United, Mike Ashley yang mendapat khidmat Fatima ketika berdepan pertikaian dengan Liga Perdana Inggeris dan usaha menjual kelab tersebut kepada konsortium yang disokong Dana Pelaburan Awam Arab Saudi.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam kes berprofil tinggi seperti kematian Baha Mousa, seorang rakyat Iraq yang meninggal dunia dalam tahanan tentera British di Basra pada 2003.
Fatima terlibat dalam keputusan penting House of Lords yang memutuskan bahawa Akta Hak Asasi Manusia 1998 turut terpakai terhadap tindakan tentera British di luar negara.
Pada 2017, Fatima dilantik membentangkan laporan utama dalam siasatan mengenai perlindungan kanak-kanak di zon konflik yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri UK, Gordon Brown.
Pada 2019, beliau menerima anugerah #WriteTheWrong daripada organisasi kebajikan Theirworld atas sumbangannya dalam memperjuangkan hak kanak-kanak.
Fatima sering dicalonkan dalam pelbagai anugerah termasuk Silk of the Year oleh Legal 500. — Agensi
Pelukis
Namun siapa sangka, kejayaan luar biasa ini sebenarnya hampir tidak berlaku.
Dalam satu temu bual, Fatima mengakui pernah hampir menolak tawaran ke sekolah undang-undang demi mengejar impian sebagai pelukis seni.
“Saya mungkin jadi artis. Memilih antara sekolah seni dan undang-undang adalah keputusan yang sangat sukar,” katanya.
Antara detik lucu dalam kerjayanya termasuk insiden terlupa membawa sut ke mahkamah dan terpaksa membelinya pagi sebelum sesi pendengaran bermula.
Fatima yang memperoleh ijazah undang-undang daripada Universiti Glasgow kemudiannya melanjutkan pelajaran di Oxford dan menyambung pengajian sarjana di Harvard, Amerika Syarikat (AS).
Beliau kini sering dicalonkan dalam pelbagai anugerah termasuk Silk of the Year oleh Legal 500.
Mentor
Ditanya tentang individu yang paling memberi pengaruh dalam hidupnya, Fatima menamakan ibu bapa, suami dan mendiang Profesor Peter Birks, yang disifatkan bukan sahaja sebagai pensyarah tetapi juga mentor yang membimbing kerjayanya.
Nasihatnya kepada golongan muda yang ingin mengikut jejak langkahnya jelas dan tulus.
"Pastikan anda benar-benar inginkannya dan ia adalah satu panggilan jiwa, bukan sekadar kerjaya," ujarnya.
Dengan semangat gigih, prinsip kukuh dan integriti yang tinggi, Fatima kini berdiri sebagai simbol perubahan, ketabahan dan keunggulan dalam dunia guaman antarabangsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram