Tak kisah dianggap gila, pasangan warga emas jual rumah di California, pilih 'settle down' di P.Pinang 


  • Cinta
  • Khamis, 10 Jul 2025

Tidak mempunyai anak atau cucu juga memudahkan keputusan untuk Paul (kanan) dan Ellen berpindah ke Pulau Pinang. — Agensi

SETELAH berdekad-dekad membina kehidupan sebagai pensyarah kolej di California, sepasang suami isteri dari Amerika Syarikat (AS), Paul dan Ellen Eggers membuat keputusan menjual rumah mereka dan berpindah ke Malaysia bagi menikmati kehidupan persaraan yang lebih tenang tanpa memiliki sebarang harta tetap.

Ia bagaimanapun bukan keputusan mengejut bagi mereka kerana pada 1970-an, Paul dan Ellen pernah menetap di Malaysia sebagai sukarelawan Kor Keamanan AS (Peace Corps).

Pengalaman itu meninggalkan kenangan manis buat kedua-duanya dan keinginan untuk kembali suatu hari nanti.

BACA LAGI: Marina imbau detik cemas Tun Mahathir jalani 2 pembedahan jantung, syukur bapa masih sihat di usia 100 tahun

BACA LAGI: Obesiti bukan hanya berat badan, risiko buah pinggang rosak, anak muda ramai obes sebab pemakanan

“Kami terbaca artikel dalam majalah Forbes tentang negara terbaik untuk bersara dan Pulau Pinang tersenarai sebagai lokasi popular serta mampu milik,” kata Ellen, 70.

Memetik laporan berita antarabangsa, pasangan itu yang sudah biasa berulang-alik bercuti ke Malaysia selama bertahun-tahun akhirnya menghabiskan lima minggu di negara ini pada 2015 sebagai persediaan awal untuk berpindah sepenuhnya.

“Kami tahu pendapatan kami lebih bernilai di Malaysia. Lalu kami fikir, kenapa tidak berpindah?” tambahnya.

Apabila tiba masa untuk bersara, Paul dan Ellen tidak menoleh ke belakang.

Paul memberitahu, mereka menjual rumah seluas 2,000 kaki persegi di perbukitan Sierra Nevada pada harga AS$290,000 (RM1.3 juta) dan melepaskan hampir semua barangan, dari kereta, perabot hinggalah koleksi buku yang didermakan kepada universiti.

“Ia keputusan yang mudah,” kata Paul, 71.

Pulau Pinang tersenarai sebagai lokasi popular serta mampu milik. — Agensi

Mereka kini menetap di sebuah kondominium tiga bilik di tepi pantai di Pulau Pinang, yakni kediaman ketiga mereka sejak berpindah ke negeri itu tujuh tahun lalu. 

Jelas Ellen, sewa bulanan mereka adalah sekitar RM8,000 dengan fasiliti lengkap seperti kolam renang, gimnasium dan gelanggang tenis.

Akuinya, mereka begitu suka akan konsep tidak memiliki apa-apa harta.

“Tiada rumah atau kereta, kami rasa lebih bebas hidup begini,” ujarnya.

Rumah kedua

Meskipun hanya pernah menjejak kaki ke Pulau Pinang untuk satu hujung minggu pada 1970-an, mereka segera jatuh cinta dengan gabungan elemen alam dan bandar yang ditawarkan negeri itu. 

Lokasi lebih santai berbanding Kuala Lumpur selain sistem pengangkutan awam yang baik, memudahkan gaya hidup bebas kenderaan.

Namun perpindahan sejauh itu tetap mengundang reaksi skeptikal daripada keluarga dan rakan di AS.

“Ada yang fikir kami gila. Sampai sekarang pun masih ada yang rasa begitu,” kongsi Ellen sambil ketawa.

Tidak mempunyai anak atau cucu juga memudahkan keputusan tersebut.

Mereka kini berada di bawah program visa Malaysia My Second Home (MM2H), yang membolehkan warga asing menetap lama di negara ini. 

Perubahan terbaharu pada 2024 memperkenalkan syarat kewangan yang lebih ketat termasuk pembelian hartanah, tetapi Paul dan Ellen masih tertakluk kepada versi lama yang lebih longgar.

Mereka kini menetap di sebuah kondominium tiga bilik di tepi pantai di Pulau Pinang. — Agensi

Kehidupan persaraan pasangan berkenaan kini lebih tertumpu kepada minat peribadi. 

Mereka banyak membaca, aktif bersenam dan baru sahaja mempelajari permainan strategi Asia, Mahjong yang turut membuka ruang pada perkenalan baharu.

“Seronok bila boleh duduk main dengan orang dari Eropah, Australia, rasa sangat semula jadi,” kata Ellen.

Perbelanjaan bulanan mereka termasuk sewa, dianggarkan sekitar RM12,000 hingga RM13,000.

Mereka tetap memantau bajet dengan cermat walaupun tidak mencatat semuanya secara terperinci.

Lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang pula membolehkan mereka kerap melancong termasuk ke New Zealand, Australia dan baru-baru ini, pelayaran ke Norway.

“Malaysia sangat mudah untuk ke mana-mana. Tiket ke Eropah juga mudah dan kerana jimat banyak di sini, kami mampu melancong,” jelasnya lagi.

Tiada salji

Biarpun sudah biasa dengan bahasa Melayu, Paul mengakui, seseorang boleh hidup selesa di Pulau Pinang hanya dengan penguasaan bahasa Inggeris.

Namun satu perkara yang harus diperhatikan, ujar Ellen, ialah cuaca tropika.

“Ramai tidak boleh menjangkakan betapa panasnya kawasan ini. Jadi penting untuk sentiasa jaga diri daripada matahari dan kekal terhidrat,” katanya.

Bagi Paul dan Ellen, Malaysia bukan lagi destinasi percutian, ia adalah rumah.

“Kami sangat serasi dengan budaya Malaysia, bahasa dan cara hidup di sini.

“Malah, perbezaan itulah yang buat kami jatuh cinta. Makanannya, keindahan alam, cuaca dan keramahan rakyat Malaysia.

“Yang paling penting tiada salji,” bicara Paul. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram