Berakhir sudah era 'girlboss'? Budaya 'hustle' bukan lagi pilihan, wanita ubah cara kepimpinan


  • Sukses
  • Rabu, 09 Jul 2025

Budaya 'hustle' bukan memecahkan siling kaca, ia hanya mematahkan ramai wanita di sepanjang jalan.

SELEPAS lebih sedekad terperangkap dalam budaya hustle yang mendambakan kerja keras tanpa henti sebagai simbol kejayaan, semakin ramai wanita kini memilih untuk melangkah keluar daripada kepenatan yang membakar diri.

Sebaliknya, mereka mula mendakap sesuatu yang lebih lembut, tenang dan mungkin lebih radikal dan kuasa lembut (soft power).

Kuasa lembut merujuk pada keupayaan mempengaruhi dan membentuk persepsi orang lain tanpa menggunakan kekerasan atau paksaan, tetapi melalui daya tarikan nilai-nilai seperti budaya, ideologi dan dasar luar.

BACA LAGI: Selepas berguru dengan bapa, Master Kay atur langkah bina empayar rawatan alternatif sendiri

BACA LAGI: Dari temu bual ke rakan kongsi spa, Tyra dan Raja Amanda mampu raih lebih RM100,000 sebulan

Era 'girlboss' merujuk pada satu fenomena budaya kerja yang memuncak sekitar pertengahan 2010-an, dengan wanita muda yang berjaya, berdikari dan bekerja keras dijadikan simbol kejayaan moden.

Istilah berkenaan mula popular selepas terbitnya buku #GIRLBOSS oleh pengasas jenama fesyen Nasty Gal, Sophia Amoruso, yang menceritakan perjalanan beliau membina empayar perniagaan daripada bawah.

Sejak itu, istilah 'girlboss'  digunakan secara meluas, bukan hanya untuk usahawan, tetapi juga wanita dalam bidang profesional yang dilihat berkuasa, berdikari dan penuh semangat mengejar kejayaan.

Namun, di sebalik aura glamor dan inspirasi itu, era 'girlboss' turut mengangkat budaya hustle iaitu bekerja keras tanpa henti, menyamakan kejayaan dengan kepenatan dan sering kali menolak keseimbangan hidup demi pencapaian kerjaya.

Istilah berkenaan mula popular selepas terbitnya buku #GIRLBOSS oleh Sophia Amoruso.

Lebih memilih

Bagaimanapun, mesej yang bergema daripada generasi wanita hari ini bukan lagi rise and grind (bangun dan bekerja keras) tetapi 'kurang mengejar dan lebih memilih' serta 'kurang kawalan dan lebih kejelasan'. 

Kuasa tidak lagi disamakan dengan suara yang lantang atau jadual kerja 16 jam sehari. 

Sebaliknya, ia tentang kehadiran, kejelasan dan kemampuan untuk memimpin tanpa membakar diri.

Budaya hustle

Budaya kerja sekarang sering dipenuhi dengan kata-kata motivasi, lagu untuk menaikkan semangat bekerja dan tekanan daripada media sosial supaya sentiasa kelihatan sibuk. 

Era 'girlboss' telah menjadi lambang wanita moden yang tampak berjaya dan hebat.

Namun, di sebalik gaya hidup penuh estetik dan glamor, statistik menceritakan kisah sebaliknya.

Menurut laporan McKinsey & LeanIn 2023, sebanyak 77 peratus wanita bekerja melaporkan mengalami keletihan kronik, manakala 42 peratus wanita dalam kepimpinan sedang mempertimbangkan untuk berundur atau berhenti kerja.

Ternyata, budaya hustle bukan memecahkan siling kaca, ia hanya mematahkan ramai wanita di sepanjang jalan.

Revolusi senyap

Kuasa lembut yang selama ini dianggap kurang ‘berprestij’ kerana lebih menekankan aspek seperti empati, intuisi, kemahiran mendengar dan kecerdasan emosi, kini mendapat tempat dalam dunia kepimpinan moden.

Penyelidikan oleh Universiti Harvard menunjukkan bahawa pemimpin yang mempunyai kecerdasan emosi tinggi mampu mengatasi prestasi rakan sejawat sebanyak 20 peratus.

Ia bukan kerana suara mereka paling kuat, tetapi kerana mereka membina kepercayaan, memacu budaya sihat dan memotivasikan pasukan secara mendalam.

Definisi baharu kejayaan

Kejayaan kini tidak lagi terikat pada bilangan jam bekerja atau gelaran korporat. 

Sebaliknya ia berakar pada peranan yang jelas, penjagaan kendiri dan keberanian menetapkan sempadan.

Soalnya bukan lagi 'boleh berjaya atau tidak?' tetapi 'bolehkah anda membina kejayaan tanpa memusnahkan diri sendiri?' 

Wanita hari ini tidak menarik diri daripada persaingan, mereka sekadar memilih jalan yang lebih lestari.

Rangka kerja baharu tersebut turut menekankan konsep seperti rehat sebagai bentuk penentangan, kerjasama menggantikan persaingan dan tujuan melebihi tekanan prestasi.

Ia adalah pendekatan yang lebih bijak, bukan malas. Wanita kini memilih untuk memimpin dengan kesedaran dan ketenangan, bukan melalui keterdesakan serta tekanan.

Girlboss: Tamat atau berevolusi?

Era 'girlboss' belum benar-benar tamat tetapi ia sedang berubah bentuk, yakni daripada kesempurnaan kepada kehadiran, daripada hustle kepada keharmonian. 

Ini bukan soal menolak kerjaya atau kejayaan, tetapi mendefinisi semula maksudnya dengan lebih manusiawi dan berdaya tahan.

Dalam dunia hari ini, orang paling berkuasa bukan lagi yang paling kuat bersuara tetapi yang paling kukuh berpijak di bumi nyata. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram