
SEKILAS pandang, Chiet A/L Ailal kelihatan seperti rakan sebaya yang lain. Namun, di sebalik senyum tawa ceria, tersembunyi perjuangan perit melawan penyakit jantung yang dihidapi sejak hari pertama kelahirannya.
Dilahirkan di pekan kecil di Sik, Kedah, Chiet didiagnosis dengan kecacatan jantung kongenital yang jarang berlaku, dikenali sebagai Transposition of the Great Arteries (TGA).
Keadaan serius itu menyaksikan dua arteri utama iaitu aorta dan arteri pulmonari yang membawa darah keluar dari jantung bertukar tempat.
BACA LAGI: Bekas akauntan tinggalkan kerjaya korporat, anak hidap CDH hikmah di sebalik jenama Joey & Mom
Dalam keadaan normal, aorta berada di ventrikel kiri manakala arteri pulmonari (ventrikel kanan) namun pesakit TGA adalah terbalik.
Pada usia hanya enam hari, Chiet sudah menjalani pembedahan pertukaran arteri yang kompleks dan berisiko tinggi di sebuah hospital di Pulau Pinang.
Pembedahan itu berjaya menyelamatkan nyawanya, dan sejak itu, Chiet menjalani hidup dengan semangat luar biasa.
Menjalani persekolahan di SMK Lubok Merbau, remaja berusia 15 tahun itu aktif bermain bola sepak dan menyimpan cita-cita bergelar jurutera mekanikal demi mengubah nasib keluarga yang hidup serba sederhana.
“Dia mahu membina kehidupan yang lebih baik untuk kami semua,” kata kakaknya, Junytaa.
“Dia adalah harapan kami, dan kami (keluarga) menjadi harapannya," tutur Junytaa lagi.
Chiet perlu menjalani pembedahan segera di IJN dengan kos keseluruhan pembedahan dianggarkan berjumlah RM80,000. — Gambar hiasan
Meskipun berdepan cabaran dari segi kesihatan, Chiet tetap menjalani kehidupan sehari-hari dengan berani, optimis, tabah dan tenang.
Namun, pada Februari lalu, semasa pemeriksaan rutin di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, doktor mendapati Chiet mengalami supravalvular neo-aortic stenosis yang teruk.
Keadaan jarang berlaku tersebut mengakibatkan penyempitan pada bahagian aorta di atas injap jantung, yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
Chiet segera dirujuk segera ke Institut Jantung Negara (IJN), dan pakar mengesahkan bahawa Chiet memerlukan pembedahan segera dengan kos keseluruhan pembedahan dianggarkan berjumlah RM80,000.
Setakat ini, IJN berjaya mendapatkan bantuan kewangan sebanyak RM30,000 daripada One Hope Charity & Welfare, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan.
Ini menjadikan baki yang perlu ditanggung adalah sebanyak RM50,000, namun jumlah tersebut masih agak membebankan kewangan keluarga remaja itu.
Sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, Chiet amat rapat dengan bapanya, Ailai A/L Eperoi, serta abang dan kakaknya.
Ibu Chiet pula sudah meninggal dunia lima tahun lalu, dan sejak itu, mereka saling bergantung antara satu sama lain untuk kekuatan dan sokongan.
Memperoleh kira-kira RM600 sebulan, Ailal yang bekerja sebagai pekebun kecil tidak mampu untuk membiayai kos perubatan Chiet.
Anak sulungnya, Somrath, 26, yang bekerja sebagai buruh hanya memperoleh kira-kira RM500 sebulan.
Junytaa, 22 pula, tinggal di rumah untuk menjaga Chiet dan menguruskan hal rumah tangga.
“Kami cuba berikan segala-galanya untuk Chiet. Tapi ini sesuatu yang kami tak mampu buat sendirian. Kami merayu bantuan untuk selamatkan nyawanya," ujar Junytaa.
Orang ramai boleh menderma dengan mengimbas kod QR di atas untuk membantu membiayai kos pembedahan jantung Chiet.
Bagi Chiet, walaupun perlu menelan realiti yang cukup pahit, dia tetap menjalani kehidupan seperti biasa.
Dia tetap hadir ke sekolah dan kekal bersemangat. Impiannya tidak berubah - untuk mengatasi cabaran hidup, berjaya dan suatu hari nanti dapat menyara keluarganya.
Bagi merealisasikan impian Chiet, Program Dana Perubatan Star Foundation menerajui usaha mengumpul baki RM50,000 melalui sumbangan orang ramai.
Yayasan itu menyeru masyarakat untuk bersama-sama membantu memastikan remaja tabah tersebut mendapat peluang kedua dalam hidupnya.
Setiap ringgit amat bermakna. Sumbangan anda boleh membiayai pembedahan penting ini dan memastikan seorang remaja dengan impian besar dapat terus hidup, membesar dan berkhidmat kembali kepada masyarakat.
Sumbangan boleh dibuat melalui pemindahan bank ke akaun Public Bank: 31-9984-9230, cek atas nama Star Foundation, atau secara kad kredit/debit melalui laman web Star Foundation.
Bagi resit pengecualian cukai, penderma digalakkan mengisi Medical Fund Programme Donation Form di laman web.
Star Foundation ialah cabang kebajikan Star Media Group. Sejak 2016, Program Dana Perubatan kelolaannya telah menyokong individu kurang berkemampuan yang menghidap penyakit kronik dengan membiayai rawatan dan penjagaan perubatan yang kritikal.
Untuk menyumbang atau mengetahui lebih lanjut, lawati starfoundation.com.my atau e-mel ke [email protected]. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram