Kecewa anak asyik kena 'claim' ikut muka bapa, kajian buktikan ibu ‘menyumbang’ perkembangan otak


  • Bonda
  • Khamis, 10 Jul 2025

Hbungan emosi antara ibu dan anak memainkan peranan besar dalam perkembangan otak anak. — Gambar hiasan

SEORANG wanita meluahkan kekecewaan apabila fizikal dan setiap ciri positif anaknya sering dikaitkan dengan keluarga belah suami sahaja.

Sedangkan sisi yang dianggap ‘kurang sempurna’ pula dikatakan datang daripada diri wanita itu.

Beliau yang menyuarakan keluhan itu menerusi aplikasi Threads pada Khamis bertanya sama ada perasaan yang dialaminya normal ataupun sebaliknya.

BACA LAGI: Pengaruh 'Brain Rot' makin berleluasa, cara mudah ibu bapa padam kartun di 'shorts' YouTube, cegah sebelum terlewat

BACA LAGI: Penat dan stres jaga anak? Kajian saintis dedah ada manfaat baik kepada fungsi otak

"Normal ke atau saya saja terlampau sensitif apabila keluarga mentua asyik nak claim anak ikut belah mereka?

"Tak dinafikan muka anak memang ikut suami, tapi lama-lama semua nak claim dari hujung rambut sampai hujung kaki. Habis saya yang beranakkan dia tiada satu pun ke ikut? 

"Daripada mak sampai adik-beradik suami sibuk nak claim, rambut anak saya ikut adik-beradik suami, hidung, mulut, jari semua lah," tulisnya.

asian father and elementary-age son enjoying outdoor activity in park.

Gen daripada bapa lebih banyak memberi kesan terhadap fizikal anak. — Gambar hiasan

Kajian sains 

Menariknya, kajian mendapati gen daripada bapa lebih banyak memberi kesan terhadap fizikal anak, termasuk saiz tubuh dan struktur wajah.

Sementara ibu ‘menyumbang’ pada perkembangan otak, kebolehan berfikir dan keupayaan menyelesaikan masalah.

Menurut kajian yang dijalankan sekumpulan saintis antarabangsa, genetik yang berkait rapat dengan kepintaran dan kebolehan kognitif sebenarnya dibawa melalui kromosom X.

Wanita mempunyai dua kromosom tersebut berbanding lelaki yang hanya mempunyai satu. 

Maka secara biologinya, anak lebih berpotensi mewarisi gen kecerdasan daripada ibu.

Bahkan, gen berkaitan fungsi kognitif yang datang daripada bapa mungkin tidak aktif disebabkan kategori gen yang dikenali sebagai conditioned genes, iaitu hanya berfungsi bergantung pada siapa yang mewariskannya. 

Dalam kes tersebut, kecerdasan hanya akan aktif jika diwarisi daripada ibu.

Rupa bapa, otak ibu

Dalam pada itu, kajian oleh Universiti Washington menunjukkan hubungan emosi antara ibu dan anak juga memainkan peranan besar dalam perkembangan otak anak. 

Kanak-kanak yang mempunyai hubungan erat dan sokongan emosional daripada ibu didapati memiliki saiz hippocampus (bahagian otak yang mengawal memori dan pembelajaran) 10 peratus lebih besar daripada kanak-kanak yang kurang mendapat sokongan emosi.

Ia mungkin menjelaskan mengapa anak yang nampak seperti ikut muka bapa sebenarnya turut mewarisi banyak keistimewaan dalaman daripada ibu, yang mungkin tidak terlihat secara zahir.

Walaupun anak sering dikatakan ikut muka bapa, sains membuktikan bahawa sumbangan ibu jauh lebih besar dalam pembentukan kecerdasan dan perkembangan emosi anak. 

Maka, eloklah jika pujian dan pengiktirafan diberikan secara adil, bukan sekadar pada paras rupa semata-mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram