Marina imbau detik cemas Tun Mahathir jalani 2 pembedahan jantung, syukur bapa masih sihat di usia 100 tahun


  • Bonda
  • Khamis, 10 Jul 2025

Marina Mahathir menitip ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran ke-100 bapanya, Tun Dr. Mahathir pada Khamis.

AKTIVIS sosial dan penulis terkenal, Datin Paduka Marina Mahathir menzahirkan rasa syukur dan terharu usai ulang tahun kelahiran ke-100 bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia pada Khamis.

Dalam satu hantaran yang penuh emosi dan penghargaan, Marina mengenang kembali saat getir yang pernah dilalui bapanya pada 2007 bila mana beliau terpaksa menjalani dua pembedahan jantung dalam tempoh hanya dua minggu.

"Pernah ada masa kami benar-benar menyangka hari ini tidak akan tiba, terutama ketika beliau mengambil masa yang sangat lama untuk pulih selepas dua pembedahan jantung dalam tempoh dua minggu.

"Tetapi dengan rahmat ALLAH SWT, beliau berjaya melaluinya dan hari ini kami di sini meraikan detik bersejarah tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook.

BACA LAGI: [VIDEO] Usia bukan penghalang, ibu tamat kursus latihan polis bantuan jadi inspirasi seisi keluarga

BACA LAGI: 'Terasa paling buruk antara semua dewi', Ramona Zamzam imbau masalah kulit ketika mula ceburi dunia hiburan

Beliau dalam masa sama turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pasukan perubatan di Institut Jantung Negara (IJN), termasuk pakar bedah, pakar bius, jururawat, ahli fisioterapi dan pakar pemakanan yang memainkan peranan besar terhadap kesihatan bapanya.

Sihat dan aktif di usia 100 tahun

Menurutnya, walaupun telah mencecah usia satu abad, Tun Mahathir kekal cergas dan aktif menjalani kehisupan seharian.

Tanda-tanda penuaan pada dirinya juga tidak terlampau ketara dan hanya dilihat melalui kesan urat tangan yang semakin menimbul di bawah kulit, sedikit pelupa dan kadang-kadang kurang pendengaran.

"Memang mudah untuk leka apabila kita mempunyai seorang ayah yang pada usia 100 tahun masih sihat. 

"Tapi dalam hati, kami sentiasa bersedia untuk menghadapi situasi yang tidak dapat dielakkan dan kami hanya mampu berdoa agar ALLAH terus melimpahkan kasih sayang-Nya," katanya.

Masih dikelilingi keluarga dan isteri tercinta

Marina dalam masa sama turut meluahkan rasa syukur kerana Tun Mahathir masih dikelilingi keluarga yang menyayanginya termasuk anak, cucu, dan cicit di samping isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah yang setia di sisi.

"Kami bersyukur masih mempunyai Daddy/Tok Det/Nyang untuk diajak berbual, ketawa, bermain dan dipeluk dan yang paling penting, beliau masih ada teman hidup yang disayanginya, Mum.

"Selamat hari lahir, Daddy! Semoga kesihatan dan tenaga Daddy sentiasa dikekalkan, kami semua amat menyayangi Daddy," ujarnya mengakhiri perkongsian.

Untuk rekod, Tun Mahathir merupakan tokoh politik paling berpengaruh dalam sejarah moden negara dengan menjadi satu-satunya Perdana Menteri yang memegang jawatan itu sebanyak dua kali.

Beliau telah diberikan gelaran sebagai 'Bapa Pemodenan Malaysia' sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya sebagai seorang negarawan ulung yang berjaya membawa Malaysia ke mercu kejayaan.

Di bawah kepimpinan dan visi Tun Dr Mahathir, negara menyaksikan pelbagai kejayaan projek mega yang mengangkat nama Malaysia di mata dunia. 

Antara projek ikonik tersebut termasuklah Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur (KL Tower), Koridor Raya Multimedia (MSC), Jambatan Pulau Pinang serta pembinaan Litar Formula 1 Sepang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram