
TANGGAL 10 Julai 2025, genap tiga bulan wanita tabah ini disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.
Lebih menyayat hati, berita itu diterima saat dirinya hamil enam bulan.
Dalam keadaan beliau dan suami tidak pernah merokok, tiada sejarah penyakit kronik, jarang jatuh sakit dan menjalani saringan kesihatan berkala setiap dua tahun, diagnosis itu hadir sebagai satu kejutan yang sukar diterima ibu tiga anak tersebut.
BACA LAGI: Dulu cuma serang golongan putus haid, kanser endometrium kini ancaman serius wanita muda — Pakar
Meluahkan berita duka itu menerusi aplikasi Threads miliknya, yaniemhh, beliau berkata, simptom mula muncul sekitar lapan bulan lalu selepas mengalami batuk berpanjangan, sakit belakang dan susah bernafas apabila baring.
"Demam langsung tiada walaupun sekali. Aku tak mengeluh atau merungut.
"Teringat tarikh 10 April 2025, saat doktor beritahu kepada aku (yang) tengah mengandung enam bulan, aku mengalir air mata di katil wad macam terpinga-pinga, banyak persoalan dalam kepala untuk ditujukan kepada doktor.
"Aku menangis telefon suami beritahu berita buruk tersebut, semua orang pun tak percaya tapi aku kuat demi bayi dalam kandungan," tulisnya pada Khamis.
Dalam masa sehari, beliau cuba memujuk hati untuk reda dengan ketentuan ILAHI.
Kongsinya, di hadapan rakan-rakan dan doktor, wanita itu masih boleh tersenyum.
"Sampai ada doktor lain datang dekat (dan tanya) 'puan dah tahu ke apa yang doktor diagnos', aku cakap ya dah tahu, kemudian doktor cakap 'sebab puan nampak tenang dan relaks saja'," ujarnya.
Sepanjang tempoh rawatan, wanita berkenaan menjalani pelbagai prosedur termasuk paru-paru ditebuk, kamera dimasukkan ke dalam paru-paru untuk mengambil tisu dan beberapa kali menjalani tiub dada bagi mengeluarkan cecair.
Wanita tersebut terpaksa menjalani pemeriksaan CT scan bersama bayi dalam kandungannya. — Gambar hiasan
Semua itu ceritanya, dijalani secara 'hidup-hidup' dengan bius minimum kerana kandungan yang masih ada.
"Berkali-kali buat pemeriksaan X-ray dan sekali CT Scan (prosedur imbasan tomografi berkomputer) bersama bayi dalam kandungan.
"Walaupun ada perlindungan, bayangkan risiko radiasi yang bayi kena hadap, tapi aku dan bayi sangat-sangat kuat sepanjang di hospital," katanya.
Sehingga akhirnya, doktor memutuskan untuk mengeluarkan bayi lebih awal sementara keadaan kesihatan wanita tersebut masih baik.
Menurut beliau, bayi lelakinya yang diberi nama Eijaz Mateen dilahirkan secara pembedahan caesarean dengan berat 1.02 kilogram, tanpa sebarang komplikasi.
Namun, takdir ALLAH SWT lebih mengetahui, bayi berkenaan hanya sempat bertahan selama tiga hari sahaja.
"Pada 25 April, bayiku kembali ke sisi ILAHI. Aku reda walaupun berat untuk terima kenyataan.
"Menangislah aku berseorangan di wad dengan pemergian baby Eijaz.
"Malamnya, keadaan aku makin merosot dan kritikal, mungkin emosi tak stabil baru hilang anak ditambah kanser itu sendiri.
"Tiga kali ambil nebulizer tak jalan hampir putus nyawa, aku dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi), selama tiga hari bertarung nyawa dengan diri sendiri sebelum dipindahkan ke wad HDW (wad kebergantungan tinggi) sebaik stabil," kongsinya lagi.
Kini, selepas tiga bulan bertarung dengan penyakit, wanita tersebut masih meneruskan kehidupan sebagai pejuang kanser.
Doanya tetap sama, untuk terus diberi peluang hidup, menyempurnakan kasih kepada anak-anak dan suami yang menjadi sumber kekuatan hariannya.
“Aku reda Ya ALLAH, KAU berikan kesembuhan, panjangkan umurku. Aku belum puas menatap wajah anak-anak dan suami.
"Masih banyak momen indah yang ingin aku cipta bersama mereka,” tuturnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram