
PENJUALAN hijab dari mesin layan diri kedengaran agak asing, namun kaedah perniagaan itu diguna pakai seorang usahawan dari Singapura, Sherida Shaik Mohamed terhadap produk keluarannya berjenama Putri Lana.
Dimulakan sejak Februari lalu, wanita berusia 48 tahun itu memperkenalkan mesin layan diri hijab pertama di stesen MRT Tampines, yang dianggap sebuah lokasi strategik di negara Kota Singa tersebut.
Sherida mengakui, bukan mudah untuk memasang sebuah mesin layan diri sendiri, apatah lagi menguruskan operasinya.
BACA LAGI: Realiti wanita moden, cabaran ibu bekerjaya jadi ilham pengarang hasilkan karya ke-18
BACA LAGI: Selepas berguru dengan bapa, Master Kay atur langkah bina empayar rawatan alternatif sendiri
Menurutnya, dia mengambil masa sehingga lebih lima bulan untuk menjalankan segala persiapan sebelum dapat memperkenalkan mesin layan diri tersebut.
Bagi kos pula, harga pemasangan mesin layan diri itu mencecah S$12,000 (RM39,862).
"Mesin ini sendiri (berharga) S$6,000 (RM19,931). Belum termasuk papan tanda, pembungkusan, kos sewa dan sebagainya.
"Jadi mungkin, (keseluruhan kos) adalah S$12,000 (RM39,862). Saya tidak lakukan (sebarang penyenggaraan) kerana ia diuruskan oleh pembekal mesin layan diri.
"Kalau misalnya ada rosak atau apa-apa, ada orang yang buat," kata Sherida yang mengasaskan jenama Putri Lana pada 2017.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia terlebih dahulu membeli mesin layan diri tersebut dari Roboshop, sebuah pembekal mesin layan diri tempatan.
Selain pembelian, dia turut mendapatkan sokongan daripada Roboshop bagi idea untuk menjual produk hijab melalui mesin layan diri itu.
Ini memandangkan Roboshop menguruskan sebahagian operasi perniagaan mesin layan diri dan mendapat komisen daripada penjualan hijab.
Sherida seterusnya membuat permohonan kepada SMRT, syarikat pengendali pengangkutan tempatan, atau mana-mana pusat beli-belah di sekitar Singapura, untuk mendapatkan kelulusan bagi pemasangan mesin layan diri tersebut.
Kelulusan itu hanya diberikan oleh pihak terbabit sekiranya mereka menyokong idea menjual produk sedemikian dalam mesin layan diri tersebut.
Selesai pemasangan mesin layan diri itu, Sherida masih perlu mengatasi beberapa cabaran dalam menguruskan operasi mesin layan diri tersebut.
Bahan pembungkusan bagi produk hijab yang dijual perlu dipilih dengan teliti, memandangkan ia harus tahan lasak sekiranya terjatuh atau terdedah kepada cuaca panas.
"Kami mula-mula keluarkan (pembungkusan) kotak. Tapi kalau ia jatuh, boleh terkoyak. Jadi, kami tukar kepada plastik.
"Tapi timbul cabaran lain apabila dalam keadaan panas, beg itu melekat kalau ia terjatuh.
"Kita tidak boleh kawal cuaca jadi apa saya buat, saya akan bayar balik pelanggan dan hantar kepada mereka," katanya.
Sherida memberitahu, dia mampu menjual sehingga 200 helai hijab Putri Lana pada harga antara S$10 hingga S$12, melalui mesin layan diri itu setiap bulan.
Antara koleksi yang ditawarkan termasuk jenis 'halfmoon tie back' daripada fabrik jersey yang digemari ramai kerana tidak perlu digosok dan tahan peluh.
Koleksi hijab yang ditawarkan itu dipilih dengan teliti untuk memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan tudung pada waktu-waktu terdesak.
"Saya sasarkan pelanggan tidak bertudung sebab kadang-kadang kita berdepan dalam situasi kecemasan seperti kematian.
"Jadi, dalam (mesin) ini, saya ada letak warna kelabu dan hitam. Selain itu, banyak pelanggan yang beli adalah jururawat dan mereka dalam pekerjaan beruniform.
"Selain itu bezanya, kalau jual di Facebook dan Instagram, ada yuran penghantaran. Tapi kalau beli di (mesin layan diri ini), tiada yuran penghantaran," katanya.
Ditanya sama ada mesin layan diri itu merupakan wadah lumayan untuk merancakkan perniagaan hijab Putri Lana, Sherida berkata, ia terletak kepada lokasi yang strategik.
Walaupun dia mempunyai rancangan untuk memasang lebih banyak mesin layan diri sedemikian dalam masa terdekat, kesukaran untuk mendapatkan lokasi strategik seperti di Tampines menjadi cabaran.
Pada masa sama, Sherida mengakui perniagaan mesin layan diri itu harus diiringi dengan pemasaran melalui media social bagi merancakkan lagi perniagaan tersebut.
"Saya perasan kalau saya tak muat naik di media sosial, (penjualannya) macam surut sikit.
Kadang-kadang kami perlu menyesuaikan harga juga. Kalau kami beri tawaran sikit, ia mampu (menarik pelanggan)," kata Sherida. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram