Asean kedua tertinggi dunia, bayi Asia berisiko tinggi hidap jaundis berbanding negara Barat


  • Bonda
  • Rabu, 09 Jul 2025

Bayi lahir di rantau Asia berisiko tinggi dijangkiti jaundis berbanding negara-negara Barat. — Gambar hiasan/Freepik

SUDAH menjadi kelaziman bayi baru lahir mengalami demam kuning ataupun jaundis yang dianggap 'normal' segelintir ibu bapa luar sana.

Namun, tanpa disedari kondisi itu sebenarnya lebih kerap dihadapi bayi di rantau asia berbanding negara-negara barat.

Kajian perubatan antarabangsa melaporkan bayi Asia sebenarnya mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk dijangkiti jaundis.

BACA LAGI: Awas bahan pencuci 'xenoestrogen', risiko si kecil akil baligh awal dari usia sepatutnya — Kajian

BACA LAGI: Elak makanan bergula, 'pisahkan' gajet antara 5 tip bantu si kecil tidur lebih lena — Pakar

Fenomena itu bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak 1965, penyelidik Brown dan Wong telah melaporkan bahawa bayi Asia mencatatkan paras bilirubin serum yang lebih tinggi iaitu sejenis bahan kimia yang menyebabkan kulit dan mata bayi bertukar kekuningan berbanding bayi British.

Malah, dalam satu kajian terdahulu, seramai 17 bayi China dikenal pasti mempunyai tahap bilirubin serum tertinggi yang mana kadarnya adalah 2.5 kali ganda lebih tinggi daripada bayi negara barat.

Tahap bilirubin bayi asia dilaporkan sedikit lewat muncul dan tempoh jaundis yang lebih panjang berbanding bayi dari negara Eropah.

Pakar dan Penyusuan Ibu dan Tidur Bayi Baru Lahir, @Isya menerusi hantaran di Threads berkongsi kajian tersebut yang jelas membuktikan isu jaundis lebih berisiko tinggi dihadapi bayi Asia.

 

 

Faktor genetik

Kajian membuktikan bahawa faktor genetik dan perbezaan metabolik badan adalah antara penyumbang utama kepada isu berbangkit.

Salah satu kecacatan genetik yang sering dikaitkan dengan jaundis ialah genetik gen G6PD, iaitu sejenis enzim penting yang membantu tubuh melindungi sel darah merah daripada kerosakan.

Kekurangan G6PD diwarisi secara turun temurun dan lebih kerap berlaku di Asia, Afrika, Timur Tengah dan kawasan Mediterranean.

Malah, hal tersebut lebih kerap dialami dalam kalangan bayi lelaki berbanding perempuan kerana sifat genetiknya yang berkait dengan kromosom X.

Namun, hasil kajian dijalankan juga menegaskan bahawa kekurangan G6PD bukanlah satu-satunya faktor yang menyebabkan jaundis lebih kerap berlaku dalam kalangan bayi asia.

Terdapat pelbagai faktor genetik lain, serta perbezaan fisiologi yang mungkin menjelaskan mengapa peratusan penyakit itu lebih tinggi di rantau Asia dan Afrika berbanding negara barat seperti Norway, Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Bayi baru lahir berisiko tinggi dijangkiti jaundis. — Gambar hiasan/Freepik

Implikasi bayi

Penemuan itu memberi kesan penting kepada sistem penjagaan kesihatan, khususnya dalam usaha untuk mengesan dan merawat jaundis lebih awal.

Ibu bapa dari latar belakang Asia dan Afrika perlu lebih peka terhadap simptom jaundis seperti kulit dan mata kekuningan, mengantuk berlebihan atau kesukaran menyusu dalam minggu pertama kelahiran.

Pemantauan yang lebih teliti perlu dilakukan terhadap bayi daripada etnik berisiko tinggi, terutama dalam tempoh tiga hingga lima hari pertama kelahiran dengan rawatan awal seperti fototerapi boleh membantu mengelakkan sebarang komplikasi serius.

Menurut data kesihatan global terkini, wilayah Afrika mencatatkan kadar kejadian jaundis neonatal tertinggi dunia iaitu sebanyak 667.8 kes bagi setiap 10,000 kelahiran hidup, diikuti rapat oleh Asia Tenggara (Asean) dengan 251.3 kes.

Kadar itu jauh melebihi kawasan benua lain seperti Timur Mediterranean, Pasifik Barat, Amerika dan Eropah, yang hanya mencatatkan antara 3.7 hingga 165.7 kes.

Cegah sebelum parah, nyawa bayi mampu diselamatkan dengan kesedaran, pemantauan rapi serta rawatan segera dari pakar perubatan bahkan mampu mencegah daripada kes kematian terutamanya yang lahir di rantau Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram