[VIDEO] 'Arwah mak pesan jangan susahkan orang', Mak Jah setia jual nasi berlauk RM3, tak risau untung rugi


  • Bonda
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Gerai nasi RM3 diusahakan Mak Jah merupakan peninggalan daripada arwah ibunya.

TATKALA ramai peniaga terpaksa menaikkan harga makanan dan jualan ekoran desakan kos sara hidup, seorang wanita dikenali sebagai Mak Jah cekal menjual nasi berlauk pada harga RM3.

Baginya, nasi RM3 bukan sekadar juadah murah, ia adalah amanah yang ditinggalkan oleh arwah ibunya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"10 hari sebelum mak meninggal, arwah dua kali pesan ke saya dia kata jangan naikkan harga, jangan susahkan orang sebab ramai orang tengah susah," katanya menerusi hantaran tular di laman sosial.

BACA LAGI: [VIDEO] Guru kesal murid guna bahasa Indonesia dalam karangan, ibu bapa tolong kawal 'content' video tontonan anak-anak

BACA LAGI: Elak makanan bergula, 'pisahkan' gajet antara 5 tip bantu si kecil tidur lebih lena — Pakar

Mewarisi tapak perniagaan itu daripada bonda tercinta, Mak Jah berpegang teguh kepada pesanan tersebut walaupun dipertikai ramai pihak.

Mengambil konsep berniaga sambil bersedekah, wanita tersebut menjelaskan dirinya langsung tidak mengambil sebarang gaji sebaliknya hanya sekadar pulangan modal.

"Nasi RM3 ini khas untuk orang-orang yang saya sayang dan sebagai penghargaan kepada pelanggan-pelanggan yang tak pernah putus menyokong kami," ujarnya.

Setiap hari Selasa, jualan nasi RM3 di Puchong Permai 2, Selangor itu dijadikan sebagai penghargaan dan momen istimewa bagi mengenang arwah ibunya. 

Namun, dugaan demi dugaan menimpa Mak Jah. Beberapa tahun selepas ibunya meninggal, adik kandungnya pula difahamkan pergi menyusul dan tahun ini, ayahnya pula kembali ke rahmatullah.

"Tahun pertama arwah mak meninggal, tahun kedua arwah adik pula dan tahun ini ayah pula baru pergi tapi saya tetap teruskan, ini semua untuk mereka," luahnya penuh sebak.

Walaupun kerap disoal tentang keuntungan dan cabaran mengekalkan harga sebegitu rendah, jawapan Mak Jah tetap sama.

"Mak Jah berniaga dengan ALLAH, saya tak risau untung atau rugi," katanya.

Siapa sangka, di sebalik juadah nasi dan lauk yang dijual pada harga RM3, terselit kasih sayang, doa yang tak putus dan ingatan terhadap insan tersayang yang telah lama meninggalkan.

Maka tidak hairanlah mengapa perniagaannya kekal maju dan semakin dikenali ramai kerana keikhlasannya dalam meneruskan amanah diberi menjadi asbab di sebalik semua kemanisan diraih.

Perkongsian Mak Jah wajar dijadikan teladan dan menjadi iktibar kepada masyarakat agar sentiasa menyayangi serta menghargai insan bergelar ibu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram