
KATA-KATA lebih tajam daripada mata pedang.
Peribahasa itu memberi gambaran setiap patah perkataan terucap di bibir mampu memberi impak besar terhadap emosi individu.
Baik ataupun buruk, pertuturan dan komunikasi melambangkan keperibadian seseorang dan ketahuilah ia boleh menjejaskan pandangan serta persepsi masyarakat jika disalah guna.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Siapa cakap tak sama?' Fila Amir nafi wajah anak sulung tak serupa muka bapa asal Guinea
BACA LAGI: Pelakon Bollywood Shefali Jariwala terkena serangan jantung, maut dipercayai akibat suntikan botox
Ironinya situasi itu, pelakon popular Saharul Ridzwan, 36, atau nama penuhnya Muhammad Saharul Ridzwan Hashim cukup terkesan dengan kata-kata serta cacian dilemparkan seorang suami dalam satu insiden berlaku baru-baru ini.
Menyaksikan sendiri kejadian tersebut, pelaku yang difahamkan sedang memarahi isterinya tidak henti-henti mengherdik dan menghina atas faktor tidak diketahui.
Berkongsi hal itu di laman Facebook pada Rabu, bintang filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang (2023) tersebut menitip kata-kata nasihat dan cinta terhadap setiap wanita bergelar isteri luar sana.
"Tadi dekat parking, sebelah kereta aku ada seorang lelaki marah-marah hentak stering, jerit-jerit maki hamun yang aku dengar, ada perkataan 'bini' dan 'derhaka'.
"Apalah yang menimpa abang tu semoga ALLAH permudahkan urusan dia dan keluarga, aku bukan nak judge dia tapi aku pun pernah melalui fasa marah ni.
"Isteri memang ALLAH ciptakan dengan penuh rasa halus jiwanya, lembut hatinya, mudah terusik dengan kata, kadang bila emosi menguasai, terkeluar ayat yang tak sepatutnya dan cepat benar suami keluarkan perkataan derhaka," katanya.
Menyampaikan nasihat buat sang suami, Saharul menyeru agar sentiasa memaafkan dan tidak cepat menghukum isteri atas sesuatu perkara ataupun kesalahan dilakukan.
Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, isteri bukan cerminan suami dan amanah dari ALLAH untuk dijaga, bukan dikeji.
"Isteri bukan cerminan kita, dia bukan untuk kita bangga-banggakan depan orang, dia adalah peringatan.
"Peringatan tentang kasih sayang ALLAH yang turun dalam bentuk seorang isteri, Nur yang ALLAH pinjamkan untuk ajar kita sabar, ajar kita tenang, ajar kita redha.
"Kadang, isteri marah sebab dia peduli, dia membebel sebab dia sayang, emosi sebab dia terlalu simpan semua dalam hati, di balik suaranya yang tinggi, ada doa yang tak pernah putus untuk kita," tambahnya.
Sekadar info, Saharul kini banyak menumpukan aktiviti hariannya kepada kegiatan dakwah cara moden menerusi ceramah dan perkongsian di laman sosial.
Sejak meninggalkan dunia lakonan pada 2021, kini dia semakin sibuk mengusahakan perniagaan pakaian dan produk makanan halal bersama isterinya sebagai sumber rezeki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram