Awas bahan pencuci 'xenoestrogen', risiko si kecil akil baligh awal dari usia sepatutnya — Kajian


  • Bonda
  • Ahad, 06 Jul 2025

Kanak-kanak berisiko tinggi berdepan isu akil baligh pramatang seawal usia tujuh tahun. — Gambar hiasan/Freepik

IBU bapa disaran lebih berhati-hati dalam memilih produk harian seperti sabun, pencuci, losen dan detergen.

Ia susulan penemuan kajian baharu yang mendedahkan bahan kimia berbahaya dikenali sebagai xenoestrogen didapati boleh mencetuskan akil baligh pramatang dalam kalangan kanak-kanak.

Pakar Nutrisi Kanak-Kanak, Amalina Mohd Daud menjelaskan, kes akil baligh awal semakin kerap berlaku terutama melibatkan kanak-kanak perempuan seawal usia enam hingga lapan tahun dan lelaki sebelum usia sembilan tahun.

BACA LAGI: [VIDEO] Guru kesal murid guna bahasa Indonesia dalam karangan, ibu bapa tolong kawal 'content' video tontonan anak-anak

BACA LAGI: Elak makanan bergula, 'pisahkan' gajet antara 5 tip bantu si kecil tidur lebih lena — Pakar

Perkara itu mengundang kerisauan ekoran perubahan fizikal dan hormon yang terlalu awal boleh memberi kesan terhadap kesihatan serta emosi kanak-kanak.

 

 

 

 

Apa itu Xenoestrogen

Xenoestrogen ialah bahan kimia sintetik yang menyerupai hormon estrogen dan boleh mengganggu sistem endokrin manusia.

Bahan itu mampu merangsang pengeluaran hormon yang mencetuskan perubahan fizikal seperti pembentukan payudara, pertumbuhan bulu kemaluan, suara garau dalam kalangan lelaki, serta pembesaran testis jauh lebih awal daripada usia kebiasaan.

Berdasarkan kajian antarabangsa, Pakar Endokrinologi Pediatrik, Dr. Michelle Vanstone dari Sharp Rees-Stealy Medical Group berkata, bahan kimia terbabit boleh merangsang reseptor hormon pada bahagian otak, seterusnya mempercepatkan permulaan akil baligh sebelum waktunya.

"Kajian membuktikan lambakan kes kanak-kanak perempuan mula menunjukkan tanda-tanda akil baligh seawal usia tujuh tahun," katanya.

 

Punca dan produk

Xenoestrogen banyak ditemui dalam produk isi rumah dan penjagaan diri seperti:

- Plastik dan bekas makanan

- Racun perosak

- Kosmetik

- Produk pembersih (sabun, detergen)

- Alat memasak

- Pengawet makanan

Senarai bahan lain yang mengandungi xenoestrogen termasuklah BPA, phthalates, parabens, triclosan, styrene, formaldehyde, toluene, sodium benzoate dan bahan pewangi tiruan yang tidak didedahkan secara telus pada label produk.

 

Implikasi serius akil baligh awal

Akil baligh awal atau pramatang bukan sekadar perubahan fizikal, malah turut memberi kesan emosi dan sosial terhadap kanak-kanak.

Kajian menunjukkan kanak-kanak perempuan yang matang terlalu awal berisiko mengalami kemurungan, dibuli, menghadapi masalah keyakinan diri serta kemungkinan terlibat dalam tingkah laku seksual awal.

Dari sudut kesihatan fizikal pula, akil baligh pramatang dikaitkan dengan risiko gangguan metabolik seperti obesiti, diabetes tahap dua, tekanan darah tinggi serta peningkatan risiko beberapa jenis kanser seperti kanser payudara dan endometrium.

"Apabila akil baligh berlaku terlalu awal, tulang kanak-kanak akan cepat matang dan menutup plat pertumbuhan lebih awal, sekali gus menyebabkan ketinggian kanak-kanak terjejas," jelas Dr. Vanstone.

 

Peranan ibu bapa

Ibu bapa perlu mengenal pasti tanda-tanda awal akil baligh pada anak-anak mereka dan berunding dengan pakar pediatrik sekiranya perubahan berlaku sebelum usia sepatutnya.

Di samping itu, ibu bapa juga disaran untuk:

- Mengurangkan penggunaan produk yang mengandungi xenoestrogen.

- Membaca label produk dengan teliti sebelum membeli.

- Mengelak makanan diproses dan produk mengandungi bahan pengawet tinggi.

- Menggunakan bekas makanan bebas BPA.

- Menggalakkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.

Akil baligh adalah proses semula jadi, namun apabila ia berlaku terlalu awal, ia boleh memberi impak besar kepada kehidupan kanak-kanak.

Justeru, pemilihan produk harian yang selamat dan bebas bahan kimia berbahaya adalah langkah pencegahan penting yang perlu dititikberatkan oleh setiap keluarga.

"Perkara paling penting adalah berbincang secara terbuka dengan doktor jika ibu bapa mempunyai sebarang keraguan tentang pertumbuhan dan perkembangan anak-anak mereka," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram