[VIDEO] Kantoi curi bikini RM98, pemilik kedai wanita berani kejar, tahan pelancong asing di jeti Pulau Koh Tao, kena denda RM2,600


  • Maya
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Pimmy (gambar kanan) menahan seorang pelancong wanita didakwa mencuri bikini dari premisnya di Pulau Koh Tao, Thailand. — Gambar hiasan/kohtaocompleteguide

TINDAKAN berani seorang wanita juga pemilik sebuah premis pakaian di pusat pelancongan Pulau Koh Tao, Thailand jadi bualan hangat warga maya apabila berjaya 'mengejar' pelancong yang didakwa mencuri di kedainya.

Wanita dikenali sebagai Pimmy yang merupakan pemilik kedai Mermaidshop, berkongsi detik-detik penangkapan tersebut menerusi laman TikTok @pimmyniwarin.

Kronologi kejadian berlaku apabila seorang pelancong wanita datang ke kedai dan berpura-pura membeli pakaian dalam ataupun bikini. 

BACA LAGI: Balut anak dengan daun, sapu minyak panas antara kecuaian ibu bapa ketika anak sakit — Pakar

BACA LAGI: Deepika Padukone cipta sejarah, artis Bollywood pertama terima bintang Hollywood Walk of Fame 2026

Pelaku difahamkan membeli pakaian tersebut, namun turut mencuri sehelai lagi bikini secara senyap bernilai 750 THB (RM98) ketika kejadian.

Menyedari hal itu beberapa jam selepas pelaku beredar dari premis, Pimmy memberanikan diri dan nekad menahan pelancong berkenaan di jeti pelepasan bot.

Sempat merakamkan detik kejadian, Pimmy bergegas ke lokasi terbabit sebaik mengetahui waktu dan masa pelepasan bot pulang dari kepulauan tersebut.

Suspek ketika kejadian cuba merayu dan memohon simpati agar dilepaskan kerana tiket penerbangannya dijadualkan berlepas pada malam tersebut.

Enggan bertoleransi dengan pujuk rayuan tersebut, Pimmy tegas menyatakan tindakannya sama sekali tidak akan dimaafkan dan bakal melaporkannya kepada pihak polis.

Kes itu walau bagaimanapun selesai selepas wanita terbabit bersetuju membayar denda sebanyak  20,000 TBH (RM2,600) dan difahamkan terpaksa membeli tiket penerbangan baharu kerana sudah terlewat.

Dalam masa sama, Pimmy turut menunjukkan papan tanda tertera di kedainya yang menjelaskan 'Kesalahan mencuri tidak boleh diterima, denda dua kali ganda atau ditahan polis. Pilih'.

Tegas dan berani mengutarakan kebenaran, tindakan Pimmy meraih pujian ramai selain turut menjadi inspirasi dan teladan kepada peniaga-peniaga lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram