[VIDEO] Wanita Melayu pertama jejak kaki ke AS, pemuda kongsi momen manis arwah ibu bertemu presiden Amerika


  • Bonda
  • Selasa, 08 Jul 2025

Allahyarhamah Dr. Jawahir Haji Ali merupakan wanita Melayu pertama menjejak kaki ke Amerika Syarikat sekitar 1956.

NAMA Dr. Jawahir Haji Ali mungkin asing dalam lipatan sejarah negara namun, kisahnya wajar diangkat sebagai inspirasi buat generasi muda hari ini.

Mencipta sejarah sebagai wanita Melayu pertama dari Tanah Melayu yang menjejak kaki ke Amerika Syarikat (AS) pada 1956, kisah itu kekal segar dalam ingatan ahli keluarganya ekoran kisahnya yang kembali tular baru-baru ini.

Berpeluang menyertai forum antarabangsa di AS pada usia 17 tahun, Allahyarhamah yang menghembus nafas sekitar 2005 menjadi wakil negara bagi menghadiri forum antarabangsa di negara barat tersebut.

BACA LAGI: Awas bahan pencuci 'xenoestrogen', risiko si kecil akil baligh awal dari usia sepatutnya — Kajian

BACA LAGI: [VIDEO] Guru kesal murid guna bahasa Indonesia dalam karangan, ibu bapa tolong kawal 'content' video tontonan anak-anak

Merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang terpilih menyertai Herald Tribune World Youth Forum, ia adalah sebuah acara prestij yang menghimpunkan pelajar-pelajar cemerlang dari seluruh dunia.

Hangat diperkatakan di laman sosial baru-baru ini, anak lelakinya, Jamal Ali menerusi perkongsian TikTok tampil menjelaskan lanjut berhubung pencapaian arwah ibunya.

"Mak saya yang bersekolah di Sekolah Zainab pada waktu itu dikenali sebagai Government Girls English School dipilih oleh British untuk pergi ke Amerika.

"Malah, arwah juga dipertemukan dengan presiden Amerika ketika itu.

"Sebelum mana-mana Perdana Menteri Malaysia berjumpa presiden AS sudah ada anak melayu yang berjumpa dengan dia, sebelum Malaya Merdeka 1957 dan Malaysia terbentuk pada 1963," katanya.

Dalam pada itu, forum anjuran akhbar New York Herald Tribune itu berlangsung di New York, AS dan menjadi medan intelektual penting pada era pasca-Perang Dunia Kedua.

 

 

Kehadiran Allahyarhamah ke forum tersebut difahamkan mewakili suara dan pemikiran remaja dari Tanah Melayu, dalam situasi negara yang sedang menuju kemerdekaan.

Menerusi forum tersebut, Dr. Jawahir bukan sahaja memperkenalkan identiti dan budaya tanah air kepada dunia, malah turut berkongsi pengalamannya sebagai remaja dari sebuah tanah jajahan yang bakal merdeka.

Allahyarhamah juga sempat merasai pengalaman musim sejuk buat kali pertama, termasuk menyaksikan salji sebagai satu kenangan yang mnjadi tanda ingatan generasi hari ini.

Kini, selepas lebih enam dekad, pencapaiannya kembali mendapat perhatian umum dan menjadi simbol semangat perjuangan wanita Melayu dalam pendidikan serta jati diri bangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram