Elak makanan bergula, 'pisahkan' gajet antara 5 tip bantu si kecil tidur lebih lena — Pakar


  • Bonda
  • Rabu, 02 Jul 2025

Faktor persekitaran dan kebersihan memainkan peranan penting terhadap tidur si bayi.— Gambar hiasan/Freepik

MASALAH anak sukar tidur awal, meragam dan kerap terjaga malam sememangnya mencabar kesabaran ibu bapa khususnya bayi baru lahir.

Dalam suasana kehidupan moden yang serba pantas, tidur berkualiti bukan sahaja penting untuk tumbesaran si kecil, malah turut memberi kesan besar kepada kestabilan emosi dan kesihatan ibu bapa.

Namun, terdapat beberapa langkah praktikal yang boleh diamalkan oleh ibu bapa bagi membantu anak-anak mendapatkan tidur yang lebih nyenyak dan berkualiti. 

BACA LAGI: Visi Sheikha Mozah realisasikan Al-Mujadilah Center, masjid khas wanita pertama di dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Cik Man kongsi taktikal 'penalti halus', rahsia kemenangan skuad Ex Treble Kelantan

Pakar motivasi dan penulis buku kanak-kanak, Mohd Fhais Salim menerusi perkongsian di laman sosial berkongsi beberapa tip dan panduan ibu bapa dalam membantu si kecil mendapat tidur lena.

Mohd Fhais banyak berkongsi tip dan panduan ibu bapa mendidik anak menerusi laman sosial.

1. Tiada gajet atau skrin 

Sejam sebelum waktu tidur, anak-anak perlu dipisahkan daripada segala bentuk skrin termasuk telefon pintar, tablet dan televisyen. 

Jelasnya, cahaya biru daripada skrin boleh mengganggu penghasilan hormon melatonin yang diperlukan untuk bayi rasa mengantuk. 

"Elakkan skrin satu jam sebelum waktu tidur, biarkan minda mereka perlahan-lahan bersedia untuk berehat.

"Kandungan yang terlalu merangsang minda juga menyukarkan mereka untuk bertenang dan bersedia untuk tidur," katanya.

2. Elak aktiviti berat 

Kebanyakan ibu bapa kurang cakna bahawa aktiviti fizikal yang terlalu lasak menjelang waktu tidur boleh menyebabkan anak menjadi terlebih letih (overtired), seterusnya sukar untuk tidur. 

Pastikan 15 minit sebelum waktu tidur digunakan untuk aktiviti yang tenang seperti membaca buku atau mendengar lagu lullaby agar suasana tidur anak terbentuk dengan mudah.

3. Kawal pemakanan 

Satu lagi faktor yang sering diabaikan ialah makanan dan minuman sebelum tidur.

Elak memberi makanan berat seperti nasi atau mi, serta minuman manis dan bergula kira-kira sejam sebelum tidur. 

Gula dan karbohidrat tinggi boleh meningkatkan tenaga dan membuatkan anak menjadi aktif pada waktu yang sepatutnya mereka mula mengantuk.

4. Ritual malam

Rutin harian sebelum tidur juga memainkan peranan penting terhadap kualiti tidur anak.

Terapkan amalan membasuh kaki, gosok gigi dan cuci muka kerana ia bukan sahaja menjaga kebersihan, malah turut membantu menurunkan suhu badan si kecil.

"Tubuh yang lebih sejuk akan lebih mudah masuk ke fasa tidur nyenyak," tambahnya.

5. Tidur dalam keadaan emosi tenang

Emosi yang stabil dan rasa disayangi adalah kunci kepada tidur yang lena. 

Elakkan menengking, memarahi atau menghukum anak sebelum tidur kerana ia boleh menimbulkan tekanan emosi serta menjadi punca mereka sukar tidur dan kerap terjaga pada waktu malam.

Momen sebelum tidur wajar digunakan sebaiknya untuk ibu bapa memeluk anak atau ucapkan kata-kata sayang kerana ia berupaya membantu mencipta memori indah buat mereka.

Mulakan dengan konsisten

Perubahan dan hasil positif mungkin tidak berlaku serta-merta, tetapi dengan kesabaran dan konsistensi berterusan, nescaya rutin tidur anak boleh diperbaiki. 

Tidur yang cukup dan berkualiti bukan sahaja memberikan manfaat kesihatan kepada anak, tetapi juga memberi ruang rehat dan kelegaan kepada ibu bapa dari segi emosi serta mental yang lebih terjamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram