[VIDEO] Jangan tunggu tragedi baru nak belajar, setiap keluarga perlu ada seorang tahu buat CPR


  • Sihat
  • Selasa, 08 Jul 2025

Dr. Say (gambar kecil) berkata, tindakan pantas dalam tiga hingga empat minit pertama amat kritikal untuk menyelamatkan fungsi otak.

DOKTOR selebriti, Dr. Say Shazril menyarankan sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga memiliki pengetahuan untuk melakukan bantuan pernafasan (CPR), demi menyelamatkan nyawa insan tersayang dalam situasi kecemasan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kematian mengejut bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Muhamed akibat serangan jantung pada Sabtu.

Pada hari kejadian, tular satu video memaparkan mangsa tiba-tiba rebah ketika beraksi di Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak.

BACA LAGI: [VIDEO] Khalid Jamlus tak dapat tidur, terbayang momen arwah Firos hembuskan nafas terakhir

BACA LAGI: [VIDEO] Dr. Say jelas tentang 'cold sores', kongsi pelembap bibir pun boleh jadi punca

 

 

Mengulas lanjut, Dr. Say berkata, apabila jantung terhenti, bekalan oksigen ke otak juga terhenti, menyebabkan otak boleh mengalami kerosakan dalam masa yang sangat singkat.

“Bayangkan seseorang rebah depan mata tapi semua orang hanya berdiri, tak tahu nak buat apa.

“Kalau CPR diberi dalam satu minit pertama, peluang untuk selamat sangat tinggi.

"Namun setiap satu minit lewat CPR, peluang hidup turun antara tujuh hingga 10 peratus,” katanya menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya.

Tambahnya lagi, tindakan pantas dalam tiga hingga empat minit pertama amat kritikal kerana masih berkesan untuk menyelamatkan fungsi otak.

Namun jelas beliau, jika CPR tidak dilakukan dalam tempoh 10 minit, risiko maut atau kerosakan otak kekal sangat tinggi.

Dr. Say dalam pada itu turut berkongsi kisah melibatkan seorang pakar mata, Dr. Glauck, yang diselamatkan isterinya selepas rebah secara tiba-tiba.

"Dr. Glauck seorang pakar mata yang sihat, aktif, tiada sejarah penyakit jantung, tiba-tiba rebah di hadapan isterinya yang bukan seorang doktor pada suatu malam.

"Isterinya periksa nafas dan denyutan jantung tiada. Maka beliau terus buat CPR pada suaminya berterusan selama 10 minit, sebelum paramedik tiba.

"CPR awal isterinyalah yang menyelamatkan otak dan nyawa Dr. Glauck," kongsi beliau.

Susulan kejadian itu, Dr. Say menegaskan, ilmu CPR bukanlah sesuatu yang hanya patut dimiliki oleh golongan profesional perubatan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menunggu hingga berlaku tragedi untuk belajar kemahiran menyelamatkan nyawa.

“Tak semua orang perlu jadi doktor, tapi sekurang-kurangnya setiap keluarga perlu ada seorang yang tahu buat CPR,” tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram