
BEKAS bintang bola sepak Perak, Khalid Jamlus meluahkan rasa sedih dan kekesalan yang mendalam selepas menyaksikan detik cemas Allahyarham Firos Mohamed rebah di depan mata, namun tidak berdaya untuk menyelamatkannya.
Menurut Khalid, insiden yang berlaku secara tiba-tiba itu meninggalkan kesan emosi yang begitu kuat sehingga beliau tidak mampu melelapkan mata pada malam kejadian.
Firos Mohamed yang juga bekas penjaga gol Pulau Pinang dilaporkan rebah secara mengejut ketika beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Legends All Stars di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak pada Sabtu sebelum disahkan meninggal dunia.
BACA LAGI: Ada 3 sebab perpindahan Safuwan Baharuddin ke Lion City Sailors bawa rahmat
BACA LAGI: 'Bukan sebab ranking, level Malaysia terlalu jauh berbanding Korea Utara'
Tangkap layar Insta Story Khalid Jamlus.
"Assalamulaikum dan selamat sejahtera semua, takziah kepada keluarga arwah Firos Mohamed. Saya yang berada di tempat kejadian ketika arwah rebah saya tidak berkemampuan nak selamatkan beliau dengan pengalaman yang cetek.
"Maafkan saya, malam itu saya tidak dapat tidur kerana terbayang wajah beliau, merasa seribu kekesalan berlaku dalam diri kenapa tidak dapat selamatkan beliau, adakah takdir dari Allah," tulis Khalid dalam satu perkongsian di laman Insta Story miliknya.
Khalid turut mempersoalkan tahap kesiapsiagaan pasukan perubatan dan berharap agar pada masa akan datang, pihak penganjur lebih bersedia menghadapi kecemasan seperti itu.
"Kami hanya hamba Allah yang sentiasa berserah kepada Allah, malam itu juga saya berfikir adakah persediaan paramedik dan juga mereka di situ lambat menyelamatkan beliau.
"Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya, bantuan dari AED juga digunakan sebanyak dua tiga kali ketika itu, ALLAHUAKBAR tapi di sini saya mohon sangat di masa yang akan datang mohon jika ada seorang doktor juga disediakan demi menyelamatkan seorang insan yang sedang bertarung nyawa," ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seorang wanita yang cuba menyelamatkan arwah menggunakan alat bantuan kecemasan (AED), namun menegaskan bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Ilahi.
"Terima kasih juga kepada seorang kakak yang cuba menyelamatkan beliau dengan pengalaman yang dia ada menggunakan bantuan sistem AED itu. Tapi semuanya kehendak Ilahi.
"Sekadar berkongsi, tidak mencari kesilapan sesiapa, mungkin di masa yang akan datang persediaan paramedik, doktor, ambulans dalam keadaan sentiasa bersedia, mungkin suatu hari nanti saya juga akan melalui situasi seperti itu, Wallahu'alam," tambahnya.
Allahyarham Firos dikenali sebagai penjaga gol yang pernah mewarnai pentas Liga Malaysia bersama skuad Harimau Kumbang sekitar era 90-an, dan terus kekal aktif dalam pelbagai kejohanan amal serta perlawanan legenda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram