
KETIKA saat kebanyakan kita mungkin akan 'membeku' melihat seseorang rebah tanpa sedar, seorang wanita muda tampil sebagai penyelamat.
Wanita yang tiada nama, tanpa niat untuk dikenali, hanya dengan satu tujuan tampil menyelamatkan nyawa.
Pada pagi 30 April 2025, suasana di Balai Ketibaan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak yang biasanya sibuk bertukar cemas apabila seorang lelaki berusia 55 tahun tiba-tiba rebah sejurus keluar dari penerbangan dari Sibu.
BACA LAGI: [VIDEO] Pilih rai ulang tahun kelahiran bersama anak-anak yatim, paling teruja nampak kek coklat
Namun, takdir mempertemukannya dengan seorang penumpang yang berada tepat di belakangnya ketika kejadian.
Seorang wanita yang tanpa ragu-ragu terus melutut, meletakkan tangannya di dadanya dan memulakan proses bantuan pernafasan (CPR).
Hanya bertemankan mata-mata saksi, seorang diri wanita itu terus menekan dada mangsa dengan penuh tenaga, selama lebih 30 minit.
Dalam detik genting itu, beliau bukan hanya bertindak sebagai orang awam, tetapi sebagai harapan terakhir seorang manusia untuk hidup.
Menurut perkongisan, Dr Tang Sie Hing yang merawat pesakit tersebut, selain wanita berkenaan beberapa staf kesihatan turut membantu termasuk penggunaan automated external defibrillator (AED) memberikan dua kejutan elektrik sehingga degupan jantung pesakit berjaya distabilkan sebelum ambulans tiba.
Tidak mahu dikenali, hanya mahu menyelamatkan
Selepas kejadian itu tular dan mendapat perhatian di media sosial, keluarga pesakit dikenali sebagai Encik Law bertungkus-lumus cuba mencari wanita tersebut untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi.
Namun, apabila wanita itu akhirnya dijumpai yang berkhidmat sebagai staf perubatan di Pusat Perubatan Timberland, Sarawak dia dengan rendah hati menolak untuk dikenali.
"Dia menolak untuk sebarang bentuk pengenalan dan penghargaan,"
"Dia mahu kekal tanpa nama, dan saya hormati keputusannya," tulis Dr Tang dalam catatannya di Facebook.
Lelaki yang diselamatkan itu mengalami serangan jantung dan hampir meragut nyawanya.
Pesakit itu mengadu sakit dada dan perut selama beberapa hari selepas pulang dari luar negara.
Selepas menjalani rawatan endoskopi di Sibu pada 29 April lalu, keadaannya semakin buruk pada awal pagi keesokannya (30 April) sebelum dia memilih terbang ke Kuching seorang diri untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi rebah sebaik sahaja mendarat.
Berkat kecekapan dan keberanian wanita itu, bersama bantuan perubatan kecemasan bertindak pantas, mangsa berjaya dibawa ke Hospital Umum Sarawak sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Timberland, yang mana angiogram mendedahkan dua saluran darahnya tersumbat 100 peratus.
Prosedur angioplasti segera dilakukan dan kini pesakit dilaporkan stabil serta tidak mengalami sebarang kerosakan neurologi.
Lebih daripada sekadar pertolongan cemas
Namun, apa yang benar-benar menyentuh hati ramai ialah sikap wanita itu enggan menerima sebarang pujian.
Dalam dunia yang penuh dengan keinginan untuk populariti dan penghargaan, tindakannya mengingatkan kita bahawa keikhlasan adalah bentuk keberanian tertinggi.
Dr .Tang turut merakamkan penghargaan kepada semua individu lain yang berada di tempat kejadian, termasuk seorang pegawai perubatan lelaki dan kakitangan kesihatan turut menyumbang kepada usaha menyelamatkan nyawa itu.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Bukan sahaja anda menyelamatkan satu nyawa, anda juga telah membuktikan bahawa dunia masih dipenuhi oleh manusia luar biasa yang tidak mementingkan diri sendiri,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram