[VIDEO] Dr. Say jelas tentang 'cold sores', kongsi pelembap bibir pun boleh jadi punca


  • Sihat
  • Selasa, 24 Jun 2025

Menurut Dr. Say (gambar kecil), selain ciuman atau seks oral penyakit ini juga boleh berjangkit apabila berkongsi barang peribadi seperti pelembap bibir, gincu, pencukur ataupun tuala.

PERSONALITI perubatan, Dr. Say Shazril menegur tindakan segelintir individu yang menjadikan masalah kesihatan pasangan sebagai bahan jenaka atau perdebatan di media sosial.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, doktor selebriti itu turut berkongsi tentang istilah cold sores, yang merujuk pada jangkitan disebabkan oleh virus Herpes.

Menurut beliau, terdapat dua jenis utama virus herpes iaitu Herpes Simplex Type-1 (HSV-1) yang lazimnya berlaku di bahagian mulut.

BACA LAGI: Dakwaan jangkitan herpes berpunca dari seks oral sahaja tidak tepat, masyarakat perlu cakna cara sebenar virus tersebar

BACA LAGI: [VIDEO] Jualan cecah 50,000 botol sebulan, pengasas Beauboss Perfume tak main 'cheat code'

"Herpes Simplex Type-2 (HSV-2) pula biasanya di kawasan kemaluan tapi kedua-duanya boleh bertukar tempat bergantung pada cara jangkitan.

"Ia berjangkit melalui ciuman, seks oral atau berkongsi barang peribadi seperti pelembap bibir, gincu atau pencukur atau tuala.

"Sebab itu barang peribadi, biarkan ia benar-benar peribadi. Jadi tak semestinya cold sores 100 peratus disebabkan (hubungan intim)," jelasnya menerusi rakaman video.

Dr. Say menjelaskan, sekali dijangkiti, virus Herpes akan kekal dalam badan sepanjang hayat, namun masih boleh dikawal.

Tambahnya, cold sores boleh muncul semula di tempat yang sama jika imun badan lemah, terlalu stres, kurang tidur atau penat berlebihan, perubahan hormon dan jangkitan lain yang menjejaskan sistem ketahanan badan.

"Virus ini sangat mudah berjangkit, jadi janganlah kalau tahu kita ada cold cores yang berair dekat bibir, kita reviu gincu dan kongsi dengan keluarga atau rakan," pesannya.

Dr. Say dalam pada itu turut menegaskan pentingnya menjaga adab dan maruah dalam dunia digital.

Cold sores bukan tanda seseorang itu tidak bermoral.

"Apa jua aib yang mungkin kita atau pasangan ada, lebih baik simpan sendiri sebab ia boleh membuka fitnah lagi-lagi di media sosial.

"Dalam dunia digital ini, adab dan ilmu kena seiring. Jangan sebarkan penyakit dengan mulut dan jangan sebarkan aib dengan jari," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram