[VIDEO] Kudrat orang ramai bantu wanita nyaris maut terjunam sungai di Thailand 2 tahun lalu wajar jadi contoh


  • Benua
  • Jumaat, 24 Jan 2025

Keadaan kereta dipandu mangsa yang terpaksa menggunakan kren untuk dikeluarkan selepas pemandu hilang kawalan.

PENDUDUK di daerah Nakhon Si Thammarat, Thailand berdepan detik cemas apabila sebuah kereta utiliti sukan (SUV) terjatuh ke dalam sungai dipercayai disebabkan pemandu mengantuk ketika sedang memandu kenderaan terbabit.

Perkara itu tular menerusi sebuah video berdurasi lebih tiga minit dikongsikan pengguna di media sosial memaparkan orang ramai membantu mangsa keluar daripada kenderaannya.

Kejadian kemudian menimbulkan keresahan daripada orang ramai yang mula bertanya-tanya mengenai tarikh dan punca sebenar kemalangan selain ingin mengetahui keadaan sebenar pemandu.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Harimau Malaya kena pukul casual Thailand dikejarkan ke hospital akibat hentakan di kepala

BACA LAGI: Atlet paragliding Malaysia maut ketika latihan di Thailand, sempat beri wang umrah kepada ibu bapa

Namun, berdasarkan laporan, insiden sebenarnya berlaku pada September 2023 dengan pemandu yang hanya dikenali sebagai Latda hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam tali air berhampiran Jambatan Wang Rak.

Kemalangan menyebabkan kereta berwarna putih dipandu mangsa terbalik di dalam sungai berkenaan sehingga menyukarkan usaha penduduk sekitar mengeluarkannya.

Mereka pada awalnya hanya membuka pintu penumpang hadapan dengan harapan dapat mengeluarkan wanita yang kini berusia 40 tahun itu, namun gagal berbuat demikian kerana air sudah memenuhi ruangan dalam kereta.

Orang ramai kemudiannya bertindak membalikkan semula kenderaan terbabit dengan sebahagian daripada mereka mengangkatnya dari bawah sementara yang lain menarik kereta itu bersama-sama.

Kira-kira seminit kemudian, mangsa yang kelihatan berbaju merah akhirnya berjaya dikeluarkan dengan rakaman turut memaparkan seorang lelaki memberikan bantuan Cardio-Pulmonary Resuscitation (CPR).

Menurut laporan ketika itu, Latda yang masih tidak sedarkan diri selepas menerima bantuan kecemasan dihantar ke Hospital Maharat Nakhon Si Thammarat bagi mendapatkan rawatan.

Sehingga kini, masih tidak dapat dipastikan sama ada wanita berkenaan selamat ataupun mengalami nasib sebaliknya memandangkan tiada laporan lanjut dikeluarkan agensi media Thailand.

Bagaimanapun, sikap tidak mengenali putus asa ditunjukkan penduduk setempat perlu dijadikan contoh rakyat Malaysia dalam membantu mana-mana individu yang mengalami kecelakaan, sama ada serius mahupun tidak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram