[VIDEO] Selamatkan kawan terkena serangan jantung, pelajar medik China tak menyesal terlepas ujian penting masuk kolej


  • Benua
  • Isnin, 19 Mei 2025

Tangkap layar video tular memaparkan detik-detik ketika Zhaopeng (kanan) cuba menyelamatkan rakannya yang terkena serangan jantung ketika dalam perjalanan mengambil peperiksaan. — Agensi

SEORANG pelajar di China terlepas peperiksaan penting bagi kemasukan ke kolej selepas berdepan detik cemas apabila perlu menyelamatkan nyawa rakannya yang terkena serangan jantung.

Pada 10 Mei lalu, Jiang Zhaopeng, pelajar berusia 18 tahun dari wilayah Shandong timur, sedang dalam perjalanan dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke dewan peperiksaan bagi kemasukan ke kolej vokasional kebangsaan bersama rakan sekelasnya.

Tidak lama selepas masuk ke dalam kereta, rakannya itu dilihat mengalami serangan jantung dan tidak sedarkan diri.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak muda Kuantan bukan setakat 'restore' topi, malah gamit semula kenangan sentimental pelanggan termasuk dari UK-AS

BACA LAGI: Tubuh Naza Group pada usia 21 tahun, Allahyarham Nasimuddin kebanggaan Kuala Pilah

Susulan daripada itu, Zhaopeng segera memberikan bantuan pernafasan atau CPR sambil turut menggesa pemandu, Wang Tao, untuk terus ke hospital terdekat.

Wang kemudiannya menenangkan Zhaopeng dan memaklumkan keadaan dihadapi kepada polis trafik bertugas.

Dengan bantuan tersebut, mereka dibenarkan untuk melepasi enam lampu isyarat merah dan sampai ke hospital dalam masa tujuh minit.

Menurut laporan media tempatan, jantung rakan sekelas Zhaopeng itu telah berhenti selama hampir 30 minit sebelum doktor berjaya memulihkan degupan jantung selepas memberikan rawatan kecemasan.

Apabila berjaya memastikan rakan sekelasnya berada dalam keadaan stabil, Zhaopeng melaporkan kejadian terbabit kepada sekolahnya dan bergegas ke tempat peperiksaan.

Bagaimanapun, kelewatan itu menyebabkan dia terlepas untuk menduduki ujian bahasa Cina.

Dikenali sebagai Spring Gaokao, peperiksaan kemasukan vokasional China diadakan sekali setiap tahun dan merupakan laluan utama ke kolej vokasional.

Ia dianggap sebagai ujian paling penting di belakang peperiksaan kemasukan kolej kebangsaan yang lazimnya diadakan pada Jun, dikenali sebagai Gaokao.

Zhaopeng memberitahu media bahawa dia tidak menyesal dengan apa yang berlaku.

"Peperiksaan saya boleh menunggu, tetapi rakan sekelas saya hanya hidup sekali," katanya.

Zhaopeng memberitahu media bahawa dia tidak menyesal dengan apa yang berlaku. — Agensi

Zhaopeng merupakan pelajar dalam bidang prostetik pergigian di Kolej Juruteknik Perkhidmatan Bandar Shandong dan telah merancang untuk memohon program teknologi perubatan melalui peperiksaan tersebut.

Pemuda itu turut memaklumkan dia telah menerima latihan pertolongan cemas rasmi sebagai sebahagian daripada latihannya di bawah kursus diambil.

"Pengalaman ini hanya menguatkan tekad saya untuk mengikuti bidang perubatan," tambah Zhaopeng.

Sehingga berita ini ditulis, rakan sekelas itu masih berada di hospital.

Pada 13 Mei lalu, pegawai pendidikan tempatan berkata, di bawah peraturan semasa, Zhaopeng tidak dibenarkan mengambil semula peperiksaan itu.

Bagaimanapun, sekolah Zhaopeng berkata, gurunya sedang berhubung dengan pihak berkuasa dengan harapan dapat keputusan yang lebih positif.

Pada 14 Mei lalu, kerajaan tempatan memberi penghormatan kepada Zhaopengdan pemandu, Wang, dengan Anugerah Tindakan Berani dan hadiah wang tunai 10,000 yuan (RM6,328.65). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram