
PENUMPANG Kereta Api Sancaka laluan Yogyakarta-Surabaya di Indonesia berdepan detik cemas selepas tren berkenaan dibaling batu oleh individu tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan dua penumpang cedera terkena serpihan kaca.
Insiden yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam Sabtu itu tular di media sosial selepas video kejadian dimuat naik oleh mangsa menerusi akaun Instagram @widya_anggraini_awaw.
Rakaman berkenaan memaparkan cermin di bahagian sisi tren tiba-tiba pecah, mengakibatkan serpihan kaca mengenai wajah dan mata seorang penumpang wanita yang sedang berehat.
BACA LAGI: [VIDEO] Enam cedera termasuk wanita, trak TLDM terbabit kemalangan 5 kenderaan
Menurut mangsa tersebut, beliau hanya menyedari dirinya cedera selepas penumpang lain menjerit panik dan memaklumkan wajah serta lehernya dipenuhi darah.
"Mbak, wajah dan leher berdarah! Kaca yang pecah masuk ke rambut, muka malah ke dalam pakaian saya.
"Alhamdulillah saya masih selamat tetapi ia bukan insiden kecil. Ini adalah nyawa yang dipertaruhkan," tulisnya.
Menurut kenyataan rasmi Pengurus Perhubungan Awam Kereta Api Indonesia (KAI) Daerah Operasi 6 Yogyakarta, Feni Novida Saragih, insiden berlaku ketika Kereta Api Sancaka 88F melalui kawasan di antara Stesen Klaten dan Stesen Srowot.
“Balingan batu tersebut menyebabkan cermin tren pecah dan serpihannya mengenai dua penumpang.
"Kami sangat kesal dengan tindakan vandalisme ini yang membahayakan keselamatan penumpang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebaik tiba di Stesen Solo Balapan, kedua-dua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dirujuk ke Hospital Triharsi.
Tambah Feni, penumpang tersebut akan meneruskan rawatan lanjut di hospital dekat Surabaya dan mereka layak menerima perlindungan insurans serta rawatan kesihatan daripada pihak KAI.
KAI Daerah Operasi 6 turut memohon maaf kepada mangsa dan semua penumpang atas kejadian berkenaan.
Tegas Feni lagi, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk perbuatan vandalisme.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan polis bagi mengenal pasti pelaku dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
"Kami juga telah mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan laluan tren yang berisiko, termasuk memasang kamera pemantauan dan meningkatkan rondaan keselamatan,” jelasnya.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya tidak membaling sebarang objek ke arah kereta api kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan penumpang dan kru tren, tetapi juga menyebabkan gangguan serius pada perjalanan tren.
“Ini bukan sekadar kenakalan, ia adalah jenayah yang membawa risiko nyawa,” tegas Feni. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram