
TRAGEDI meragut enam nyawa sekeluarga di Sungai Korok dekat Jitra, Kedah pada Sabtu terus mengundang kesedihan dan simpati rakyat Malaysia.
Dalam kejadian menyayat hati itu, sebuah kereta yang dinaiki mangsa dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai, menyebabkan kesemua penumpangnya lemas.
Insiden malang tersebut berlaku ketika mereka dipercayai dalam perjalanan pulang selepas pulang berziarah dari rumah saudara mangsa.
BACA LAGI: [VIDEO] Belum tiba ajal, ‘rider’ tercampak ke laut diselamatkan nelayan di Jambatan Pulau Pinang
Mayat kesemua mangsa berjaya ditemui pasukan penyelamat pada Isnin selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Tragedi itu bukan sahaja mengejutkan penduduk setempat, malah mencetuskan gelombang takziah serta peringatan agar masyarakat lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan di jalan raya.
Sehubungan itu, menerusi satu perkongsian di laman Facebook pada Isnin, Public Health Malaysia mengajak orang ramai agar tidak hanya bersedih, tetapi turut mengambil pengajaran daripada kejadian berkenaan.
"Kami merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya buat keluarga mangsa tragedi di Sungai Korok. Enam sekeluarga, satu kehilangan besar yang menyentuh hati seluruh negara," tulis pentadbir laman Facebook berkenaan.
Dalam nada penuh empati, perkongsian tersebut turut menekankan betapa pentingnya pengetahuan asas untuk menyelamatkan diri jika kenderaan terjunam ke dalam sungai, bagi mengelak insiden serupa berulang.
Antara langkah yang dikongsikan termasuklah:
1) Jangan panik. Panik hanya melambatkan reaksi. Fokuskan diri untuk keluar.
2) Cabut tali pinggang keselamatan. Ini langkah pertama yang perlu dibuat sebaik sahaja sedar kereta terjunam.
3) Jangan cuba buka pintu. Tekanan air di luar terlalu kuat pintu hampir mustahil dibuka.
4) Turunkan tingkap dengan segera dalam 30–60 saat pertama, sistem elektronik kereta masih boleh berfungsi.
5) Keluar ikut tingkap. Tolak diri keluar secepat mungkin.
6) Jika tingkap tak boleh diturunkan, pecahkan tingkap. Gunakan alat pemecah tingkap, kepala penyandar, atau apa sahaja objek keras yang ada.
Public Health turut menyarankan agar setiap kenderaan dilengkapi dengan alat pemecah tingkap dan pemotong tali pinggang, yang perlu diletakkan di lokasi mudah dicapai.
"Ingat tiga langkah mudah Tali pinggang, Tingkap, Keluar.
"Semoga tragedi ini menjadi peringatan buat kita semua, bukan sekadar untuk bersedih tetapi untuk lebih bersedia,” menurut perkongsian itu lagi.
Tragedi di Sungai Korok menjadi satu ingatan pahit bahawa malang tidak berbau, dan kesiapsiagaan boleh menjadi faktor untuk selamatkan diri ketika berdepan situasi sedemikian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram