'Kami lupa juara juga manusia', doktor titip doa buat Lee Zii Jia, ajar semula bagaimana rasanya bahagia


  • Podium
  • Isnin, 07 Jul 2025

Zii Jia dijangka akan kembali ke gelanggang pertandingan di Kejohanan Terbuka Jepun yang berlangsung dari 15 hingga 20 Julai ini.

KEADAAN pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia baru-baru ini membimbangkan penyokong sukan tanah air selepas memuat naik hantaran berunsur ilustrasi surrealisme di Instagram miliknya. 

Hantaran berkenaan yang mencatat lebih 75,000 tanda suka setakat ini mencetuskan spekulasi termasuk dakwaan bahawa pemain berusia 27 tahun itu mungkin sedang berdepan masalah kemurungan.

Ilustrasi yang dikongsi Zii Jia tidak disertakan sebarang kapsyen, namun simbolik gambarnya membawa pelbagai tafsiran hingga mengundang kebimbangan dalam kalangan warga maya.

BACA LAGI: Terlalu awal kata Zii Jia hadapi kemurungan, peminat perlu main peranan bagi sokongan — Pakar psikologi

BACA LAGI: Hantaran ‘misteri’ Zii Jia cetus tanda tanya, ada kaitan tanda-tanda kemurungan

Walaupun tiada perkembangan terbaharu mengenai hantaran berkenaan, ramai berharap kesihatan mental Zii Jia berada pada tahap terbaik dengan majoriti mendoakan perkara terbaik untuk pemain berkenaan.

Salah satu sokongan paling menyentuh emosi ialah hantaran daripada Dr. Md Azhari Md Zhahir yang memuat naik satu warkah penuh doa tulus kepada jaguh badminton negara berkenaan. 

Dalam hantaran yang dimuat naik pada  Dr. Md Azhari mengimbas kembali detik bersejarah di All England 2021 apabila anak jati Alor Setar, Kedah itu memperlihatkan semangat juang yang membara. 

 

 

"Lee Zii Jia, Aku masih ingat, masih jelas saat kau bawa nama Malaysia di All England 2021. Kau lompat tinggi, smash sekuat hati dan kau menjerit bukan saja sebab menang, tapi mungkin sebab semua beban akhirnya terlepas dari dada kau, walau sekejap.

"Kami di rumah menepuk meja, menjerit lebih kuat dari commentator. Kami bangga, Zii Jia. Betul-betul bangga. Kau tunjuk dunia, Malaysia masih ada taring. Dan dalam beberapa saat, kami semua lupa politik, lupa masalah, kami cuma rakyat yang sama-sama sayang kau.

"Lepas itu kau teruskan lagi. Commonwealth, Thomas Cup, Piala Sudirman. Kau berdiri teguh waktu kami hanya pandai tuntut lebih. Kami tak tahu betapa setiap pukulan kau lahir dari berjuta-juta ulang servis, betapa kau tahan lutut bengkak, bahu luka, supaya dapat bagi kami alasan untuk letak bendera di bio Instagram," katanya. 

Dr. Md. Azhari turut menyentuh perjalanan sukar Lee Zii Jia yang berdepan dengan pelbagai cabaran fizikal dan mental, termasuk kecederaan lutut dan bahu, serta tekanan daripada media dan peminat yang sering kali mengkritik selepas prestasinya menurun. 

Beliau mengingatkan bahawa di sebalik kehebatan seorang juara, wujud juga manusia yang memerlukan sokongan dan kasih sayang lagi-lagi jika berada di fasa sukar dalam kerjaya mereka. 

 Zii Jia berjaya berjaya merangkul kemenangan sebagai juara Kejohanan Badminton All England 2021.

"Dan bila prestasi kau mula turun. Media serang, netizen sindir. Kami tak sedar kau cuma budak 20-an yang masih cuba cari tapak, masih cuba nak buktikan pada diri sendiri dia layak. Kami lupa, juara juga manusia. Juara juga takut. Juara juga sunyi.

"Aku bayangkan malam-malam kau di hotel asing, seorang diri, barangkali menatap siling putih dengan dada penuh was-was: 'Aku ni betul ke layak? Atau semua ni kebetulan semata-mata?'. Kau buka media sosial, nampak orang banding kau dengan Lee Chong Wei.

"Banding lagi, dan lagi. Sedangkan kau bukan dia. Kau Zii Jia dengan jiwa sendiri, cerita sendiri, luka sendiri. Dan masa kau upload status gelap itu, kami patutnya berhenti. 

"Patutnya kami diam, patutnya kami terus pandu kereta ke rumah kau, bawa sup panas, letak tangan di belakang kau dan kata 'Kalau kau nak menangis, nangis. Kami tak perlukan juara hari ini, kami cuma nak kawan kami hidup.' Tapi kami tak buat. Kami sindir. Kami gelak. Kami ulang trauma yang kau dah cuba kubur," kongsinya. 

Dalam tulisannya yang penuh empati, Dr. Md. Azhari berharap agar Zii Jia diberi ketenangan hati dan kekuatan untuk terus bersinar tanpa dibelenggu apa-apa yang mengganggu ketenangannya. 

"Zii Jia, kalau satu hari nanti kau baca tulisan ini, atau kalau tulisan ini cuma terbang dalam angin tanpa destinasi biarlah ia tetap jadi doa paling diam dari kami. Doa agar Tuhan tenangkan hati kau. Doa agar Dia beri kau cinta, bukan sekadar tepukan kosong. 

"Doa agar bila kau buka mata setiap pagi, kau rasa dunia ini masih punya ruang untuk Zii Jia duduk dengan aman. Dan kalau satu hari nanti kau dah berhenti berlari atas gelanggang, dah gantung raket, dah duduk di beranda rumah tengok matahari terbenam  kami harap kau masih senyum.

"Masih rasa bangga dengan semua luka yang kau kumpul. Masih rasa hidup ini berbaloi, walau payah. Doa kami untuk Lee Zii Jia 'Ya ALLAH peganglah hati dia, peluk dia erat, bisik pada dadanya: Belum waktunya padam. Dunia masih mahu kau sinari.

"Dan bila dia lupa bagaimana cara tersenyum, ajar dia perlahan-lahan supaya suatu hari nanti, dia boleh ajar kami pula tentang bagaimana rasanya bahagia selepas luka yang panjang," doanya. 

Beliau juga menyatakan harapan agar Zii Jia, jika suatu hari nanti memilih untuk bersara dari dunia badminton, tetap merasa bangga dan bahagia dengan segala perjuangan dan pengorbanannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram