‘Takkan diuji dengan perpisahan, lupa itu semua pinjaman’, hari-hari gaduh, pasangan warga emas nekad bercerai di usia senja


  • Massa
  • Isnin, 07 Jul 2025

Sepasang suami isteri warga emas masing-masing berusia 80 dan 77 tahun nekad memfailkan penceraian selepas lebih 50 tahun hidup bersama. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

SEPASANG suami isteri warga emas masing-masing berusia 80 dan 77 tahun nekad memfailkan penceraian selepas lebih 50 tahun hidup bersama. 

Penceraian itu sekali gus mengejutkan banyak pihak termasuk anak-anak dan peguam yang mengendalikan kes berkenaan.

Perkongsian kisah menyentuh hati itu diceritakan oleh seorang wanita, Farizal Radzali yang terlibat secara langsung dalam urusan dokumentasi penceraian pasangan tersebut di laman Facebook miliknya pada Isnin.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Cuma nak sambung kehidupan kami', jual roti canai murah, baiknya hati suami isteri korban lemas sekeluarga Sungai Korok

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Ya ALLAH mudahkan urusan anak sulung dia’, 6 beranak termasuk bayi lemas, kereta ditemukan di dasar Sungai Korok, Jitra

Meskipun bukan kes berat, katanya, perceraian di usia emas memberi kesan mendalam kerana pasangan berkenaan sudah pun melalui pelbagai liku kehidupan, malah dikurniakan dua anak dan empat cucu yang kini menetap serta bekerja di Singapura.

Menurut Farizal, anak sulung pasangan itu pada awalnya menghubungi pihaknya bagi memaklumkan hasrat ibu bapanya untuk bercerai, namun dalam masa sama tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

"Dia (anak) sudah menasihati ibu ayahnya banyak kali, tapi kedua-duanya tetap berkeras mahu berpisah. 

"Akhirnya dia akur juga dan carikan peguam walaupun hatinya berat untuk menerima kenyataan," katanya.

Tambah menyentuh hati, pasangan warga emas itu hadir ke pejabat Farizal hanya menaiki motosikal berdua walaupun keadaan kesihatan mereka tidak mengizinkan. 

"Si suami mengalami masalah tulang belakang dan perlu rawatan berkala, manakala si isteri pula mengalami sakit kaki yang menyebabkan dia berjalan amat perlahan.

"Saya sudah bertanya awal-awal sama ada mereka datang bersama anak atau tidak. Mereka kata datang berdua, jadi saya fikir mungkin anak yang hantar. Rupanya mereka berdua menaiki motor, dalam terik panas tengah hari.

"Saya tergamam melihat keadaan mereka. Si suami membantu isteri turun perlahan-lahan dari motor, kemudian tongkat motor sebelum saya ajak mereka ke kedai kopi berhampiran untuk duduk dan berbincang," katanya.

Farizal berkata, sepanjang sesi penerangan dokumen penceraian, pasangan itu masih menunjukkan sikap saling menghormati. Si isteri sesekali bertanya kepada suaminya dalam bahasa yang hanya mereka fahami, dan suaminya menjelaskan dengan lembut.

"Saya tak tahan nak bertanya. ‘Kenapa nak bercerai? You berdua nampak okay saja. Masih ada kasih sayang antara suami isteri. Lagipun dah usia macam ini, enjoy saja hidup berdua. Duit belanja pun anak-anak bagi.’

"Isterinya cuma jawab ringkas, ‘Susah mahu cakap. Saya sudah tak boleh hidup dengan dia. Kami sudah tua, cari jalan masing-masing.’

"Wajah suaminya berubah, sugul. Tapi tetap setuju untuk tandatangan petisyen. Saya lihat mereka masih saling membantu, pegang tangan turun tangga, suami bantu isteri naik motor. 

"Saya hanya mampu memerhati dengan hati yang penuh persoalan," jelasnya.

Ada pasangan nampak bahagia di luar, tapi bergolak dalam perkahwinan walaupun di usia senja. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

Farizal turut hadir menemani pasangan itu ketika prosiding bicara penceraian secara dalam talian (Zoom) bersama hakim, dan pada ketika itu anak-anak mereka juga tidak hadir.

Ketika ditanya hakim mengenai sebab penceraian, pasangan tersebut hanya menjawab ringkas, "Tiada persefahaman lagi. Lebih baik berpisah dari bergaduh setiap hari."

Tiada sebarang tuduhan atau keburukan dilemparkan terhadap pasangan masing-masing. Tiada marah, tiada tangisan. Hanya wajah reda dan keletihan.

"Sebagai orang luar, kita tidak tahu apa yang berlaku. Ada pasangan nampak bahagia di luar, tapi bergolak dalam. Ada yang simpan sabar bertahun-tahun, sampai akhirnya meletus tanpa dipaksa.

"Kadang kita rasa pasangan kita baik, perkahwinan kita stabil. Tapi kita lupa, semua itu pinjaman. Hari ini kita tak diuji, esok belum tentu," kata Farizal menutup perkongsiannya dengan penuh pengajaran.

Kisah pasangan itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang rata-rata tersentuh. 

Malah ada yang menjadikan ia sebagai iktibar bahawa cinta dan perkahwinan memerlukan lebih dari sekadar waktu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram