
TRAGEDI banjir kilat yang melanda beberapa daerah di Texas, Amerika Syarikat (AS) pada 4 Julai lalu telah mengorbankan puluhan nyawa.
Antara terkorban termasuk seorang bapa muda yang sanggup bergadai nyawa demi memastikan keselamatan ahli keluarganya.
Julian Ryan, 27, meninggal dunia selepas kehilangan darah secara drastik akibat mencederakan dirinya ketika cuba menyelamatkan ibu, tunang dan dua anak kecilnya masing-masing berumur enam tahun dan 13 bulan.
BACA LAGI: [VIDEO] Banjir kilat Texas: 13 maut, lebih 20 budak perempuan masih hilang
BACA LAGI: Bapa mahu selamat anak dibawa arus ditemukan lemas di Lubuk Tapeng
27-year-old man dies while saving his fiancée, children & mom during the Texas flash floods
“I’m sorry, I’m not going to make it. I love y’all,” were Julian Ryan’s last words.
When Ryan realized 911 wouldn’t be able to save them in time as water rushed into the home, he punched… pic.twitter.com/SPAM3OSNgL
— Collin Rugg (@CollinRugg) July 6, 2025
Insiden menyayat hati itu berlaku di kawasan Ingram, Daerah Kerr, antara lokasi paling teruk terjejas dalam bencana yang memaksa pengisytiharan darurat oleh pihak berkuasa negeri.
Memetik laporan berita antarabangsa, hujan lebat setara sebulan turun hanya dalam beberapa jam, menyebabkan paras air Sungai Guadalupe melonjak ke tahap berbahaya setinggi 26 kaki.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 50 nyawa dilaporkan terkorban, termasuk 15 kanak-kanak.
Ketika kejadian, Ryan dan keluarganya sedang tidur di rumah bergerak mereka sebelum dikejutkan oleh limpahan air kira-kira pukul 4 pagi.
Dalam keadaan panik dan cemas, Ryan bertindak nekad memecahkan tingkap rumah agar keluarganya dapat memanjat ke bumbung untuk menyelamatkan diri.
Namun, tindakan berani itu membawa padah apabila salur darah utama di lengannya terputus, menyebabkan beliau kehilangan darah dengan cepat.
“Menjelang pukul 6 pagi, tunang saya telah pergi. Beliau memandang saya, anak-anak dan ibu lalu berkata, ‘maaf, saya takkan sempat, saya sayang kamu semua’,” kata tunangnya, Christina Wilson dalam nada sebak kepada stesen berita KHOU 11.
Wilson juga memaklumkan, mayat Ryan hanya ditemui selepas air surut, namun usaha untuk membawanya keluar mengambil masa beberapa jam.
Ibunya turut menyifatkan Julian sebagai wira sebenar dalam kisah tragis itu.
Keluarga mangsa turut menggesa agar sistem amaran banjir seperti siren ditingkatkan di kawasan berisiko, sebagai langkah pencegahan untuk masa hadapan.
Mengulas usaha menyelamat, Pengarah Jabatan Keselamatan Awam Texas, Kolonel Freeman Martin berkata, lebih 100 anggota dikerahkan pada hari kejadian, dilengkapi bot, kenderaan air tinggi, penyelam dan tujuh helikopter penyelamat dengan keupayaan angkat.
Sementara itu, Gabenor Texas, Greg Abbott memberi jaminan bahawa semua aset negeri akan digunakan sepenuhnya untuk menyelamatkan mangsa dan memastikan tiada individu yang tercicir dalam operasi itu.
Dalam perkembangan sama, Presiden AS, Donald Trump turut memberikan reaksi terhadap bencana tersebut, menyifatkan banjir itu sebagai satu perkara amat dahsyat dan mengesahkan kerjasama akan diberikan untuk menyokong Texas dalam masa sukar ini.
“Nampaknya ada kanak-kanak yang turut terkorban,” katanya kepada media, sambil menzahirkan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan pihak negeri bagi menyalurkan bantuan sewajarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram