Bapa mahu selamat anak dibawa arus ditemukan lemas di Lubuk Tapeng


  • 112
  • Isnin, 27 Feb 2023

Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dijalankan bersama pihak bomba dan agensi penyelamat lain pada Ahad. — Polis Terengganu

SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan anaknya daripada dibawa arus di Lubuk Tapeng, Air Putih, Terengganu ditemukan lemas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat Mohd Mirwan Mohd Ramli, 40, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 10.23 pagi, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan polis merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat, penduduk kampung serta orang ramai yang terlibat dalam usaha pencarian," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari pada Ahad, Mohd Mirwan yang bekerja sebagai buruh kilang bersama isteri dan dua anak lelakinya datang ke Lubuk Tapeng untuk memancing dan mandi-manda.

Bagaimanapun kegembiraan keluarga itu bertukar tragedi apabila mangsa yang cuba menyelamatkan anak lelakinya Muhammad Zafran Aidil,12, daripada dihanyutkan arus, tiba-tiba tenggelam manakala anaknya itu berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok berhampiran. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram