
ENAM sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemukan dalam kereta Proton Iswara yang tenggelam di Sungai Korok dekat Jitra, Kedah pada Isnin.
Enam mangsa terbabit adalah pasangan suami isteri dan empat anak mereka yang berusia enam bulan hingga 9 tahun.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mayat terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, tiga kanak-kanak dan seorang bayi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kereta terjatuh di dalam sungai terbabit pada pukul 8.38 pagi tadi.
"Dimaklumkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Sedan berada di dalam sungai dan terdapat enam mangsa, iaitu seorang lelaki, seorang wanita, tiga kanak-kanak dan seorang bayi di dalam kenderaan itu.
"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan dan proses pengecaman mangsa dilakukan oleh waris mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
BACA LAGI : [VIDEO] Kanak-kanak Iran dihempas 'lelaki gila' di lapangan terbang Moscow makin pulih, boleh makan sendiri
BACA LAGI : [VIDEO] Belum tiba ajal, ‘rider’ tercampak ke laut diselamatkan nelayan di Jambatan Pulau Pinang
Ahli keluarga yang berada di lokasi dilihat menangis ketika jasad mangsa diangkat seorang demi seorang.
Menurut ahli keluarga, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, dan empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izza, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita membuat laporan polis selepas abang, kakak ipar serta empat anak mereka gagal dikesan sejak Sabtu lalu selepas pulang bermalam di rumahnya di Taman Aman.
Rata-rata pengguna media maya juga meminta satu-satunya keluarga mangsa yang hidup untuk terus bertabah dan kuatkan semangat.
Difahamkan, anak sulung mangsa tidak turut serta dalam perjalanan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram