Imam masjid ditemukan lemas 100 meter dari Jeti Kampung Semaloi


  • Kes
  • Selasa, 20 Mei 2025

Al Hafiz Yunus (gambar kecil), yang terjatuh dari bot pada awal pagi Selasa ditemukan lemas selepas lebih 10 jam operasi mencari dan menyelamat di perairan Jeti Kampung Semaloi.

SEORANG imam dari Pontian, Johor yang terjatuh dari bot pada awal pagi Selasa ditemukan lemas   di perairan Jeti Kampung Semaloi dekat Mersing Johor pada Selasa. 

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, PBK II Mohd Supian Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.25 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Endau dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) sekitar pukul 2.30 pagi, didapati benar terdapat seorang lelaki terjatuh dari bot berhampiran jeti.

BACA LAGI : [VIDEO] Masalah brek dikatakan punca, adik tuntut keadilan abang maut dirempuh lori di RTB Bukit Changgang

BACA LAGI : [VIDEO] 'ALLAHUAKBAR', ibu hanya mampu mengucap takbir lihat anak lelaki 12 tahun ditemukan lemas di Baling

"Pencarian awal dilakukan menggunakan kaedah ‘surface searching’ dalam radius sekitar 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai jatuh, namun terpaksa ditangguhkan pada pukul 3.30 pagi atas faktor keselamatan dan keadaan gelap," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

 

Beliau memaklumkan operasi disambung semula sekitar pukul 8 pagi menggunakan dua bot milik bomba bersama bantuan 10 anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Mersing dan Skudai.

Jelasnya, pencarian dilakukan menggunakan teknik ‘windshield wiper searching’ dan ‘surface searching’ sebelum mangsa berjaya ditemukan pada pukul 12 tengah hari oleh anggota PPDA.

"Mangsa, Mohd Al-Hafitz Md Yunos, 45, ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan lebih 10 jam oleh pelbagai agensi penyelamat," katanya. 

Tambah beliau, seramai 20 anggota bomba terlibat dalam operasi termasuk 10 anggota dari BBP Endau serta 10 anggota PPDA.

Ujar Mohd Supian, operasi turut mendapat bantuan daripada sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), 12 kakitangan Pejabat Agama serta 51 orang awam.

Katanya, turut digunakan dalam operasi ialah pelbagai aset logistik termasuk dua bot penyelamat, lori, kenderaan utiliti ringan, unit EMRS serta bot fiber milik orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram