
LEBIH 20 kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang susulan banjir kilat yang melanda Camp Mystic, di Hunt, Texas, Amerika Syarikat pada malam Khamis.
Menurut Timbalan Gabenor Texas, Dan Patrick, seramai 23 kanak-kanak masih belum ditemui di Camp Mystic, sebuah kem musim panas untuk kanak-kanak perempuan yang menempatkan kira-kira 750 peserta.
Meskipun mangsa masih belum dikesan, masih wujud harapan kerana ada kemungkinan mereka terperangkap di pokok atau kawasan tinggi dan masih hidup.
Beliau menyifatkan situasi tersebut sebagai tragedi besar dan meminta orang ramai supaya mendoakan keselamatan mereka.
"Saya merayu kepada rakyat Texas untuk berdoa agar kanak-kanak ini dapat ditemui dengan selamat,” katanya.
Dalam masa sama, lebih 500 anggota penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang turut melibatkan 14 helikopter dan 12 dron.
Setakat ini, seramai 237 orang telah diselamatkan termasuk 167 yang dibawa keluar menggunakan helikopter.
Namun, sekurang-kurangnya 13 orang disahkan maut dan jumlah itu dijangka meningkat kerana masih ramai yang belum ditemui.
Kerajaan negeri telah mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai zon bencana dan menggerakkan semua aset yang diperlukan untuk membantu operasi menyelamat.
Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhkan diri dari kawasan berisiko tinggi dan mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram