
SEORANG wanita mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga maya selepas mendakwa suaminya mahu beliau menggugurkan kandungan semata-mata kerana mempercayai ramalan astrologi dan zodiak.
Menerusi akaun Threads @helplesswifetosomeone, wanita berkenaan memaklumkan dirinya kini hamil lima minggu, namun berdepan tekanan emosi kerana suaminya menolak kehadiran bayi tersebut.
“Baru-baru ini saya baru tahu yang saya mengandung lima minggu tapi suami tidak mahu anak ini sebab menurut zodiak dan astrologi yang dia percaya, bayi ini akan jadi musuhnya suatu hari nanti,” tulisnya pada Ahad.
BACA LAGI: Kandungan gugur dan bayi kurang berat antara risiko ibu hamil kerap hadam kafein
BACA LAGI: [VIDEO] Makan ubat gugur kandungan, wanita dipenjara 9 bulan di Melak
Wanita yang tidak mendedahkan identiti itu mendakwa, suaminya menyifatkan bayi yang dikandung akan lahir dengan sifat negatif seperti degil, tidak sihat dan berperwatakan buruk, berdasarkan kepercayaan ramalan bintang.
Akuinya, sebagai individu beragama Islam, pengguguran janin bukan satu pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh beliau.
"Dia suruh saya gugurkan bayi ini sebab katanya bayi akan dilahirkan tak sihat, degil dan banyak sifat negatif.
"Namun itulah, bagaimana nak cakap suami (tentang hal ini), bantu saya," pintanya.
Luahannya mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna platform tersebut yang rata-rata menyatakan simpati dan menasihatkan agar wanita itu tidak tunduk kepada permintaan yang dianggap tidak berlandaskan ajaran agama Islam.
Seorang pengguna, anr_asa, menasihatkan supaya wanita tersebut berbincang secara jujur dan bersemuka dengan suaminya.
"Kena ada sesi hati ke hati dengan suami, terangkan yang sikap anak dibentuk oleh ibu bapa, bukan berdasarkan zodiak," ujarnya.
Sementara itu, espressofiqa pula mencadangkan agar wanita itu mendapatkan campur tangan keluarga mentuanya.
“Minta tolong daripada mentua atau adik-beradik ipar. Jika dah sampai tahap percaya benda syirik macam ini, keluarga dia perlu tahu.
"Libatkan keluarga awak juga, sebelum dia buat lebih banyak perkara tak masuk akal,” pesannya.
Mempercayai ramalan zodiak atau horoskop boleh menjejaskan akidah umat Islam.
Dalam era digital yang serba canggih ini, kepercayaan terhadap zodiak dan ramalan bintang masih lagi menjadi amalan sebilangan masyarakat, termasuk dalam kalangan umat Islam.
Meskipun dilihat sebagai bentuk hiburan ringan oleh sesetengah pihak, hakikatnya, Islam mempunyai pendirian yang jelas dan tegas mengenai perkara tersebut.
Zodiak merupakan satu sistem astrologi yang berdasarkan tarikh kelahiran dan kedudukan bintang bagi meramal sifat, nasib dan masa depan seseorang.
Dalam Islam, perbuatan mempercayai atau bergantung pada ramalan seperti ini termasuk dalam kategori tahyul dan khurafat, yang boleh membawa kepada syirik sekiranya diyakini sepenuhnya.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pandangan para ulama, mempercayai ramalan zodiak atau horoskop boleh menjejaskan akidah umat Islam kerana ia menyandarkan kuasa menentukan nasib atau rezeki kepada bintang, bukan kepada ALLAH SWT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram