Bukan soal siapa benar, tapi siapa yang mahu belajar, bertahan ketahui 'ujian' 5 tahun awal perkahwinan


  • Cinta
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Penting untuk mencipta semula detik-detik istimewa yang mungkin pernah hilang selepas berkahwin. —Gambar Hiasan

"PERKAHWINAN bukan soal siapa yang paling benar, tetapi siapa yang sanggup belajar.”

Begitulah pandangan jujur seorang bapa tunggal, Saprijan Ridwan menerusi satu perkongsian di laman Threads, yang mengupas secara telus tentang pahit manis lima tahun pertama alam rumah tangga iaitu fasa yang sering kali menjadi ujian terbesar bagi pasangan suami isteri.

Dalam tulisannya, Saprijan tidak menggambarkan perkahwinan sebagai sesuatu yang indah-indah semata-mata, sebaliknya mengajak orang ramai untuk bersikap realistik, terus belajar dan saling memahami.

“Ini bukan kisah dongeng. Bahagia itu bukan datang serta-merta tetapi dibina perlahan-lahan,” ujarnya.

BACA LAGI: Sudahlah dipaksa kahwin dengan jiran sendiri untuk lunas hutang, wanita disepak terajang, alami keguguran

BACA LAGI: 'Seburuk-buruk manusia adalah dedah aib pasangan', pendakwah jelas erti amanah dalam rumah tangga

Setiap pasangan perlu belajar menikmati proses kehidupan berumah tangga.

Berikut adalah beberapa cabaran utama dikongsikan beliau barangkali wajar diberi perhatian dalam usaha membina rumah tangga matang dan harmoni.

1. Ekspektasi atau realiti

Pada awal perkahwinan, ramai pasangan memiliki harapan tinggi iaitu menganggap isteri akan sentiasa tampil cantik, rumah kekal kemas dan makanan terhidang sempurna setiap hari.

Namun realitinya, ada hari dapur akan kelihatan bersepah, pasangan keletihan sehinggakan hanya sempat menikmati mi segera bersama.

"Jadi, setiap pasangan perlu belajar menikmati proses kehidupan berumah tangga, bukannya mengejar gambaran sempurna yang dicipta oleh imaginasi," kata Saprijan.

2. Cabaran ekonomi dan beban kewangan

Tekanan kewangan sering kali menjadi ujian besar khususnya apabila keluarga mula berkembang.

“Gaji yang terhad dan keperluan yang meningkat menjadikan ramai suami berasa terbeban untuk menjadi cukup setiap masa,” jelasnya.

Saprijan berkata, penyelesaiannya adalah dengan bersikap telus dalam pengurusan kewangan, berbincang secara terbuka dan merancang bajet bersama.

Ramai pasangan memiliki harapan tinggi iaitu menganggap isteri akan sentiasa tampil cantik setiap hari.

3. Jurang komunikasi

Perbezaan cara berkomunikasi antara lelaki dan wanita turut menjadi punca salah faham dalam rumah tangga.

“Saya pernah berkata ‘baiklah, itu sahaja’ sedangkan isteri sebenarnya hanya mahu didengari bukan disuruh diam,” kata Saprijan.

Beliau menyeru agar suami lebih peka, mendengar terlebih dahulu sebelum bertindak memberi solusi.

4. Pengaruh luar dan campur tangan keluarga

Di fasa awal perkahwinan, nasihat atau pandangan ahli keluarga atau rakan kadangkala berpotensi mengeruhkan keadaan.

“Keluar ayat daripada mulut pasangan seperti,' kata ibu, kata ayah, kata abang'... semua ini jika tidak dikawal boleh mencetuskan konflik yang memanaskan suasana,” katanya.

Beliau menegaskan kepentingan untuk menetapkan sempadan yang jelas dan sihat.

Katanya, keputusan dalam rumah tangga harus dibuat oleh suami dan isteri, bukan pihak luar.

5. Masalah ranjang

Topik mengenai hubungan intim masih dianggap tabu dalam kalangan masyarakat, meskipun ia merupakan elemen penting dalam perkahwinan.

“Ada waktunya pasangan terlalu penat, tiada mood atau terputus emosi. Jika tidak dibincangkan secara terbuka, ia boleh mencetuskan jarak,” katanya.

Beliau menyarankan agar pasangan berani berbicara mengenai hal itu dengan penuh kejujuran dan saling memahami keperluan masing-masing.

6. Kepenatan harian yang menguji mental dan emosi

Kehidupan harian yang sibuk dan meletihkan boleh membuatkan pasangan terasa ingin menjauh seketika daripada rutin.

“Pagi keluar bekerja, malam mengurus anak dan rumah. Ada masa terasa ingin menyendiri dua hari di gunung.

"Tetapi sebenarnya, rehat perlu dirancang dan dikomunikasikan dengan baik. Keletihan adalah nyata, tetapi tanggungjawab bersama akan terasa lebih ringan apabila diurus secara kolektif," kata Saprijan.

7. Menghidupkan semula detik romantis

Pengguna Threads, Titisept pula menambah bahawa penting untuk mencipta semula detik-detik istimewa yang mungkin pernah hilang selepas berkahwin.

“Sesekali, jemput dan hantar isteri ke tempat aktivitinya. Keluar berdua seperti waktu bercinta dahulu sama ada bermalam atau sekadar makan bebola daging di hujung lorong,” tulisnya.

Bagi beliau, usaha kecil seperti itu dapat memupuk semula rasa keintiman dan kasih sayang.

8. Memahami bahasa cinta pasangan

Tambah beliau lagi, setiap individu memiliki bahasa cinta yang berbeza.

Maka penting untuk saling mengenali dan memenuhi keperluan emosi pasangan masing-masing.

“Fahami bahasa cinta pasangan sama ada masa berkualiti, sentuhan, kata-kata manis, bantuan atau hadiah. Dan jangan lupa maklumkan apa yang anda perlukan juga,” sarannya.

Seorang lagi pengguna, Aynee_27 pula beranggapan keluarga harmoni tidak bererti perlu terlihat sempurna dalam semua aspek.

“Saya dan suami sudah saling mengenali sejak zaman sekolah menengah, namun kami masih melalui fasa bergelut hingga ke hari ini,” kongsinya.

Kini setelah anak-anak dewasa dan melangkah ke alam kolej, beliau menyedari bahawa keharmonian bukan bermakna kesempurnaan.

“Ucapan ‘Maafkan saya’ kini lebih kerap diucapkan berbanding ‘Saya cinta padamu’ kerana kami belajar bahawa empati dan pengertian lebih penting dalam fasa perkahwinan yang panjang,” tambahnya yang sudah berpengalaman selama 20 tahun dalam membina rumah tangga. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram