Sudahlah dipaksa kahwin dengan jiran sendiri untuk lunas hutang, wanita disepak terajang, alami keguguran


  • Cinta
  • Rabu, 02 Jul 2025

Seorang wanita alami tekanan selepas diseksa oleh suaminya selepas tiga bulan berkahwin.

HASRAT seorang wanita membantu keluarganya keluar dari belenggu hutang berakhir dengan derita apabila menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga menyebabkan keguguran kandungan tanpa disedari.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai L mendedahkan bahawa beliau dipaksa berkahwin dengan jiran sendiri atas desakan keluarga sebagai pertukaran kepada penyelesaian hutang bank sebanyak RM7,500 yang ditanggung oleh ibu bapanya.

“Saya anak sulung, jadi saya ikutkan kehendak mereka. Lelaki itu penganggur, tetapi keluarganya berjanji akan bantu langsaikan hutang ibu bapa melalui perkahwinan itu dan beri mas kahwin yang mencukupi,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sia-sia kayuh 2 jam di tengah padang pasir, wanita terima sebotol air, rupanya daripada pemimpin Dubai

BACA LAGI: 'Seburuk-buruk manusia adalah dedah aib pasangan', pendakwah jelas erti amanah dalam rumah tangga

Menurut L, suaminya menunjukkan imej alim dan warak sebelum perkahwinan, namun hakikatnya merupakan seorang penagih dadah dan alkohol.

Lebih menyayat hati, L mula didera secara fizikal dan emosi selepas tiga bulan berkahwin.

“Apabila mabuk, saya dipukul. Apabila ditegur, saya ditendang. Saya cuba bertahan sebab tak mahu susahkan keluarga,” katanya.

Cuba menyorokkan sifat asli suami, L merahsiakan segalanya dan sengaja bekerja lebih masa setiap hari untuk mengelak pulang ke rumah. 

Namun, penderitaannya terbongkar apabila beliau hadir ke tempat kerja dalam keadaan cedera parah.

“Saya datang kerja dengan muka lebam, bibir luka dan darah membasahi skirt uniform. Majikan panik dan terus bawa ke hospital,” katanya.

Di hospital, doktor memaklumkan bahawa L sebenarnya hamil empat minggu dan mengalami keguguran akibat trauma fizikal yang teruk.

Kandungannya gugur dalam bentuk tisu, dikenali sebagai kehamilan kimia (chemical pregnancy) sehingga dia terpaksa menjalani prosedur kuretase bagi membersihkan rahim.

“Saya tak tahu pun saya hamil. Malam sebelumnya dia mabuk dengan kawan-kawan. Apabila ditegur, dia mengamuk dan tendang rahim saya berkali-kali,” ceritanya lagi.

Dengan sokongan majikan, L membuat laporan polis dan menyerahkan bukti perubatan. 

Bekas suami kemudiannya dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah dan diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM15,000.

Sepanjang tiga tahun perkahwinan, L juga menerima wang belanja bulanan daripada keluarga mentua sebanyak RM600 sebulan, tetapi jelas, wang itu tidak dapat menggantikan penderitaan yang ditanggung.

L akhirnya memfailkan penceraian dan kini menjalani kehidupan baharu yang lebih aman.

“Saya bersyukur semuanya sudah selesai. Saya kehilangan anak, tapi saya selamatkan nyawa saya sendiri,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram