
"BILA anak tak cemerlang dalam akademik, ibu ayah mana yang tak risau?"
Itu persoalan mungkin terdetik di benak ramai ibu bapa hari ini, lebih-lebih lagi dalam dunia yang sangat menekankan keputusan peperiksaan.
Setiap tahun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, ada gembira, tak kurang juga yang menangis dalam diam.
BACA LAGI: Mahu ubah nadi rumah anda? 5 reka bentuk dapur memenuhi selera setiap cita rasa
Namun, di sebalik angka atau gred, tersembunyi kisah perjuangan anak-anak yang kadangkala lebih berharga daripada sekeping slip keputusan.
Itulah dikongsikan oleh Fara Hamadi dalam satu hantaran menyentuh hati di Facebook miliknya baru-baru ini.
Kisah anak keduanya, satu-satunya puteri dalam keluarga mereka, menyentuh banyak hati kerana ia bukan tentang pencapaian luar biasa tetapi tentang usaha luar biasa dalam menghadapi kekangan dan realiti sebenar pelajar yang sukar mendapat 'straight A'.
"Anak kedua saya, satu-satunya anak perempuan saya, bunga dalam keluarga," tulis Fara membuka ceritanya.
Anak gadisnya, Hadifah, bukan pelajar cemerlang dari segi akademik apabila matematik sering menjadi titik lemah.
Ketika di tingkatan empat, beliau ditempatkan di aliran akaun yang menuntutnya untuk mengambil subjek Prinsip Akaun dan Matematik Tambahan.
Bayangkan, jika subjek matematik biasa pun sukar, dua lagi subjek kira-kira hanya menambah tekanan.
Namun, ada satu perkara yang sentiasa membuatkan Hadifah menonjol iaitu subjek Bahasa Inggeris.
Malah, di sekolah, dia merupakan pelajar terbaik subjek itu.
Perjumpaan tiga penjuru antara guru, ibu bapa dan pelajar menjadi titik mula perubahan.
Guru kelas yang juga mengajar Bahasa Inggeris mencadangkan strategi berani buat Hadifah supaya tidak hadir peperiksaan Matematik Tambahan dalam SPM, agar tiada gred gagal tertera di sijil.
"Nak teruskan dengan markah single digit sepanjang masa? Saya tak sanggup nak paksa dia lagi," luah Fara.
Permohonan menggugurkan subjek tidak diluluskan pihak sekolah, namun, guru itu cukup teliti dalam perancangannya.
Beliau memahami karakter Hadifah yang 'introvert' dan tidak mudah menerima suasana baharu.
Dengan itu untuk menukar kelas bukan pilihan, lagipun, rakan baik Hadifah juga berada di kelas akaun iaitu satu-satunya tempat dia selesa ketika di sekolah.
Sebagai sokongan, Fara ambil tutor peribadi untuk membantu anaknya.
Bukan di pusat tuisyen mahupun secara dalam talian, kerana dia tahu apa sesuai untuk anak yang sukar bersosial dengan ramai orang.
Bimbingan guru, kesungguhan anak, dan sokongan ibu bapa berjalan seiring.
Hasilnya? Lulus semua subjek SPM dengan Matematik dan Prinsip Akaun juga lepas, manakala Bahasa Inggeris seperti dijangka, mendapat A, manakala subjek lain juga menunjukkan keputusan baik.
"Saya lega sampai menangis waktu terima keputusan SPM anak ini. Menangis macam anak dapat 10A+," tulis Fara dengan nada yang penuh kelegaan.
Hadifah akhirnya menerima dua tawaran diploma satu dalam bidang kreatif dan satu lagi TESL (Teaching of English as Second Language).
Dengan bimbingan dan perbincangan, mereka sepakat memilih laluan TESL di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).
Bidang bahasa yang menjadi minat dan kekuatan anaknya kini diterjemahkan menjadi kerjaya masa depan.
Kini, Hadifah sudah memasuki semester keempat yang mana dua semester sebelum itu dia berjaya memperoleh Anugerah Dekan.
Si pendiam kini menjadi ketua kumpulan dalam tugasan, menjadi tempat rujukan rakan-rakan dan beliau bersinar di tempat yang betul.
"Dia bersinar bila berada di tempatnya."
Fara menulis kisah itu bukan untuk menunjuk, sebaliknya sebagai harapan buat ibu bapa lain yang sedang gusar.
Bahawa tidak semua anak perlu cemerlang dalam semua subjek dan tidak semua kejayaan datang dalam bentuk A+.
"Sebenarnya ada jalan, selagi kita berusaha." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram