
DISEBALIK wajah tenang dan senyuman manis, tersimpan kisah penuh getir yang dilalui Puteri Wales, Kate Middleton.
Selepas hampir setahun berehat daripada tugas rasmi akibat kanser, Puteri Wales, Kate Middleton tampil semula ke khalayak dengan lawatan ke Hospital Colchester, Essex.
Lawatan itu bertujuan merasmikan taman kesejahteraan khas untuk pesakit, kakitangan National Health Service (NHS) dan pelawat.
Namun, yang mencuri perhatian ramai ialah keterbukaan Kate berkongsi pengalaman peribadinya selepas tamat rawatan kanser.
“Semasa rawatan, kita cuba nampak kuat. Bila rawatan habis, kita fikir boleh terus hidup seperti biasa. Tapi sebenarnya, fasa selepas rawatan itu sangat-sangat sukar,” katanya.
Wanita berusia 43 tahun itu disahkan menghidap kanser pada Mac 2024 dan menjalani kemoterapi hingga September.
Beliau kemudian mengumumkan dirinya dalam fasa pemulihan pada Januari 2025.
Walaupun sudah kembali bertugas secara perlahan-lahan, Kate tidak menghadiri beberapa acara utama termasuk Royal Ascot baru-baru ini.
Menurut pihak istana, beliau masih dalam proses menyesuaikan diri dan memberi keutamaan kepada kesihatan.
“Kate dah tak lagi dipantau rapat oleh doktor, tapi belum betul-betul sihat seperti dulu. Jadi, amat penting ada orang yang boleh bantu dan bimbing Kate waktu itu,” jelasnya.
Dalam lawatan itu, Kate turut menanam bunga mawar istimewa dinamakan Catherine’s Rose bersama petugas hospital.
Bunga tersebut akan diedarkan ke ratusan taman kesejahteraan dan komuniti seluruh UK sebagai simbol harapan dan pemulihan.
Puteri Wales sememangnya terkenal dengan sokongan terhadap inisiatif yang mengaitkan alam semula jadi dengan kesihatan mental.
Beliau percaya, berada di luar rumah memberi ketenangan yang membantu proses penyembuhan.
“Sepanjang pemulihan, saya banyak habiskan masa di luar kerana di situlah saya rasa paling tenang,” katanya.
Kate dan Putera William kini tinggal bersama tiga anak mereka iaitu Putera George, 11; Puteri Charlotte, 10; dan Putera Louis, 7 di Adelaide Cottage, Windsor, Australia.
Menurut bekas jurucakap Ratu Elizabeth, Kate kini bijak mendengar keperluan tubuh badannya dan tidak terburu-buru kembali ke rutin seperti biasa.
“Dia ambil masa, ikut kemampuan diri. Itu langkah yang bijak,” katanya.