PASTINYA ramai gemar mengambil minuman kopi kerana aromanya yang menyegarkan dan rasa keenakan yang luar biasa.
Tidak cuma pelajar dan pekerja sahaja menjadikan kopi sebagai minuman harian mereka, malah sesetengah ibu hamil juga memiliki tabiat sedemikian.
Bagaimanapun, tidak dinafikan meminum kopi setiap hari boleh memberi manfaat dan risiko buat tubuh badan seseorang.
Pengambilan kopi yang berlebihan boleh mendatangkan mudarat. — KKM
Antara manfaatnya, pengambilan kopi dalam jumlah yang terkawal dapat meningkatkan daya ingatan dan melegakan keletihan yang dirasai.
Namun, pengambilan kopi secara berlebihan boleh mengundang masalah terutama kepada ibu hamil.
Dalam satu hantaran di laman X, Kementerian Kesihatan Malaysia menegaskan agar ibu hamil supaya mengawal jumlah pengambilan kopi dalam sehari demi menjamin kesihatan berterusan ibu dan bayi dalam kandungan.
"Pengambilan kafein dalam jumlah yang berlebihan oleh ibu hamil berisiko memudaratkan kesihatan ibu dan bayi," tegasnya.
Tambahnya lagi, risiko seperti keguguran kandungan dan bayi yang lahir dalam keadaan kurang berat badan boleh berlaku.
Menurut kajian dalam American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), wanita hamil disarankan untuk menghadkan pengambilan kafein kepada sekitar 200 mg sehari, bersamaan dengan satu hingga dua cawan kopi.
Namun, jumlah itu boleh berbeza bergantung kepada sensitiviti individu terhadap kafein.
Oleh itu, menjadi satu perkara penting untuk ibu hamil berunding dengan pihak perubatan agar mendapat nasihat khusus mengenai diet semasa kehamilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram