[VIDEO] Layanan 'tip top' setiap kali balik kampung jumpa mentua di Pakistan, siap dapat duit belanja


  • Cinta
  • Ahad, 06 Jul 2025

Tangkap layar memaparkan pengalaman ketika wanita tersebut mengunjungi keluarga mentua di Pakistan.

DALAM masyarakat yang kian moden, masih wujud stigma dan tanggapan serong terhadap wanita Malaysia yang memilih untuk berkahwin dengan warga asing, terutamanya lelaki dari negara membangun atau kurang popular dalam kalangan rakyat tempatan.

Sering kali, wanita-wanita tersebut dilabel sebagai terdesak, materialistik atau ‘mudah ditipu cinta’.

Namun di sebalik persepsi negatif itu, ramai sebenarnya memilih untuk berumah tangga atas dasar cinta sejati, keikhlasan dan keserasian tanpa mengira sempadan bangsa, budaya mahupun negara.

BACA LAGI: Wanita Myanmar temui cinta sejati bersama jejaka Melayu di Mentari Court

BACA LAGI: [VIDEO] Warga asing hairan perempuan Malaysia bekerjaya, sepatutnya duduk rumah, lelaki jadi 'provider'

Berkongsi pengalaman menikahi lelaki warga Pakistan, seorang wanita tempatan dikenali sebagai Jaja berkata, tidak wajar masyarakat bersikap skeptikal terhadap wanita Malaysia yang memilih untuk berkahwin dengan warga asing.

Ia kerana katanya, kebahagiaan rumah tangga bukan ditentukan oleh latar belakang negara, tetapi oleh kasih sayang dan layanan yang baik daripada pasangan dan keluarga mentua.

Beliau yang juga pengasas syarikat agensi pelancongan baru-baru ini berkongsi suasana sewaktu berkunjung ke rumah keluarga mentua di Pakistan tanpa ditemani suami, sebelum pulang semula ke Amerika Syarikat (AS).

Malah, kunjungan kali ini bukanlah kali pertama beliau pulang ke kampung halaman hanya ditemani anak-anak, namun layanan yang diterima tetap luar biasa.

“Setiap kali sampai di Pakistan, abang ipar, Baba Yahya dan Mama Fozo tak pernah terlepas untuk menjemput kami di lapangan terbang.

"Memang keluarga mentua bagi layanan tip top apabila menginap di sini.

"Bangun pagi saja, mak mentua hantar teh chai sampai atas katil. Bapa mentua siap bagi duit belanja. Nak beli baju raya pun pak mentua bagi duit juga,” katanya menerusi hantaran di Instagram jaja_touch pada Sabtu.

Lebih menarik, demi keselesaan keluarga, bapa mentuanya turut memasang panel solar supaya pendingin hawa tetap boleh digunakan meskipun berlaku gangguan bekalan elektrik.

“Air minum semua ditapis bersih. Ramai ahli keluarga melayan anak-anak saya, Omar dan Zarar.

"Bapa saudara yang duduk jauh pun hantar duit, suruh belikan makanan sedap-sedap,” kongsinya.

Wanita itu turut menegaskan bahawa tidak semua perkahwinan dengan warga asing, khususnya dari negara sedang membangun harus dipandang sinis atau negatif.

“Tak perlulah nak skeptikal pada wanita Malaysia yang kahwin dengan orang luar. Suami dan mentua layan kami baik-baik saja. Kami sudah bahagia,” ungkap beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram