
SEORANG ibu meluahkan rasa syukur dan penghargaan tidak terhingga kepada kru kabin dan petugas syarikat penerbangan AirAsia selepas anak perempuannya mengalami kecemasan pernafasan ketika dalam penerbangan dari Guangzhou ke Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurut perkongsian di akaun Facebook milik wanita tersebut, Jacyntha Florentius, anaknya, Natashya Sofea telah tidur sejak pesawat berlepas pada pukul 5.55 pagi.
Namun kira-kira satu setengah jam kemudian, bayi berusia setahun tujuh bulan itu bangun dan menyusu sebelum tiba-tiba menunjukkan tanda-tanda kegelisahan.
BACA LAGI: Balut anak dengan daun, sapu minyak panas antara kecuaian ibu bapa ketika anak sakit — Pakar
BACA LAGI: Elak makanan bergula, 'pisahkan' gajet antara 5 tip bantu si kecil tidur lebih lena — Pakar
"Dia sekejap menangis, sekejap diam. Tiba-tiba wajah dan bibirnya jadi pucat. Dia nampak lemah, macam sukar bernafas dan juga kurang responsif," katanya pada Sabtu.
Situasi cemas itu mendorong si ibu bertindak pantas mendukung anaknya, menepuk belakang badan, menggosok tangan dan kaki bayi kecil itu selain cuba membuatkan dia menangis.
Dalam masa sama, beliau meminta bantuan anak kapal untuk mendapatkan oksigen.
“Tindakan anak kapal sangat pantas dan cekap. Selepas diberikan oksigen, keadaannya mula pulih dan bibirnya kembali merah jambu,” tambahnya.
Melihat bayi berkenaan yang masih dalam keadaan membimbangkan, anak kapal kemudiannya membuat pengumuman bagi mendapatkan bantuan doktor dalam pesawat.
Menurut Jacyntha Florentius lagi, mujurlah seorang doktor wanita yang kebetulan berada di dalam pesawat tampil membantu dan memeriksa keadaan Natashya Sofea.
Jelasnya, kru turut memaklumkan insiden tersebut kepada juruterbang yang seterusnya mengambil keputusan menurunkan ketinggian penerbangan.
"Tidak lama kemudian, juruterbang mengumumkan pesawat akan dilencongkan ke lapangan terbang terdekat di Ho Chi Minh bagi mendapatkan bantuan perubatan segera.
"Sepanjang 30 minit semasa pesawat menurun, anak kapal tak henti-henti datang memeriksa Tashya.
"Mereka urut tangan dan kakinya, periksa nadinya. Mereka sangat prihatin," ceritanya.
Ujar beliau, setibanya di Lapangan Terbang Ho Chi Minh, pasukan perubatan sudah sedia menunggu di pintu pesawat.
Bayi itu dibawa Lapangan Terbang Ho Chi Minh untuk menerima rawatan segera. — Gambar hiasan
Tambahnya, mereka menaiki pesawat untuk menilai keadaan bayi itu sebelum memutuskan agar dia dibawa ke hospital.
Bayi berkenaan bersama ibu bapanya kemudiannya diiringi kakitangan lapangan terbang ke ambulans yang telah menanti.
Bagasi mereka turut dikeluarkan dengan segera.
“Di hospital, wakil AirAsia, Alan Vuu, menemani kami dari A hingga Z. Tashya diberi rawatan segera tanpa perlu menunggu langsung.
"Dalam masa satu jam, semua ujian termasuk ECG (elektrokardiogram), ekokardiogram dan imbasan X-ray telah diselesaikan,” kongsinya.
AirAsia turut menyediakan penerbangan percuma untuk mereka sekeluarga pulang semula ke Kuala Lumpur selepas insiden itu.
Menurut si ibu lagi, bantuan daripada petugas pengendalian darat AirAsia di Ho Chi Minh sangat luar biasa, dengan mereka tidak ditinggalkan sendirian sehinggalah berada di ruang menunggu untuk menaiki pesawat.
“Saya amat berharap agar pihak syarikat memberi penghargaan sewajarnya kepada semua kakitangan yang terlibat.
"Mereka telah menjalankan tugas dengan penuh profesionalisme dan cemerlang dalam situasi ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram