Deniz Sagdic transformasi seni dari bahan kitar semula jadi 'suara' isu kelestarian, alam sekitar


  • Sukses
  • Ahad, 06 Jul 2025

Bagi Sagdic, seni lestari bukan sekadar mengenai penggunaan semula bahan, tetapi juga menyentuh soal kelestarian seni itu sendiri. — Instagram/denizsagdicart

BAGI Deniz Sagdic, satu karya seni mampu menyampaikan mesej yang kuat dan jelas mengenai isu kelestarian dan alam sekitar, jauh lebih pantas dan berkesan berbanding ribuan teks.

Artis visual dari Turkiye itu berkata, seni berperanan sebagai medium komunikasi paling cepat dan tidak berpihak dalam menyampaikan isu-isu kritikal kepada masyarakat umum.

Menurutnya, beribu-ribu teks telah ditulis tentang kelestarian dan penyelesaiannya masih terus dicari.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Corak tak jadi pun laku', seni batik tanah liat makin memikat hati rakyat Malaysia

BACA LAGI: Gen Z kurang minati seni tempatan?

"Namun kita boleh menyampaikan semua mesej ini melalui satu karya seni sahaja. 

"Seni adalah medium komunikasi yang paling cepat dan tidak berpihak," katanya memetik laporan berita antarabangsa. 

Sagdic yang terkenal dengan karya seni berteraskan bahan kitar semula, mempelopori pendekatan seni lestari bukan hanya dengan menggunakan bahan buangan, malah mengangkat peranan seni di luar galeri dan muzium tradisional.

Ujar beliau, seni lestari bukan sekadar mengenai penggunaan semula bahan, tetapi juga menyentuh soal kelestarian seni itu sendiri. 

Ia termasuk membawa karya ke ruang awam sebagai satu pendekatan baharu dalam penghayatan seni.

Sagdic menggunakan bahan buangan daripada objek kegunaan harian. — Agensi

Ready Remade

Siri karya Ready Remade menjadi contoh jelas dedikasinya terhadap seni lestari. 

Bermula dengan potongan fabrik denim kitar semula, karya-karya beliau kini turut menggunakan bahan seperti plastik, kadbod, kabel dan komponen elektronik yang terbuang.

"Saya menamakan projek Ready-ReMade kerana saya menggunakan bahan buangan daripada objek kegunaan harian.

"Pada masa itu, konsep kitar semula belum lagi popular," jelasnya.

Menurut Sagdic, projek itu lahir sebagai reaksi terhadap seni konseptual yang cenderung memfokuskan pada idea atau konsep berbanding hasil fizikal karya.

Bagi wanita tersebut, seni konseptual sememangnya sah sebagai satu teknik dalam dunia seni, namun beliau menegaskan idea dalam seni tidak seharusnya terhad hanya kepada bentuk tersebut.

Beliau mengambil pendekatan tersendiri dengan menggabungkan bahan buangan dan teknik klasik termasuk lukisan menggunakan cat minyak, pemasangan arca dan penyusunan semula objek dalam struktur artistik. 

"Melalui kaedah ini, saya ingin menunjukkan seni berkonsep telah wujud sebelum diberi label ‘konseptual’," jelasnya.

Minat terhadap bahan guna semula sudah berakar sejak zaman remajanya. 

"Saya berumur 13 tahun ketika sangat menginginkan sepasang seluar jeans yang harganya agak mahal untuk bajet saya," katanya tersenyum mengimbas kenangan lama.

Antara karya seni Sagdic yang dihasilkan daripada cebisan fabrik tekstil. — Instagram/denizsagdicart

Untuk merealisasikan impiannya, beliau mula mengumpul seluar jeans lama milik jiran-jiran, menjahitnya menjadi beg dan menjualnya bagi mengumpul wang. 

Usaha gigih itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya memiliki seluar jeans idamannya.

"Saya terlalu menyayangi jeans baharu saya itu sehinggakan saya memakainya sampai koyak sepenuhnya. 

"Ketika itu, jeans koyak belum lagi menjadi fesyen di Turkiye, tetapi saya cuba menggayakannya dengan menambah kesan lusuh dan koyak supaya saya boleh terus memakainya lebih lama.

"Kini, semua jenis bahan buangan saya cuba tampilkan semula dalam bentuk seni, dengan prinsip bahawa sisa yang diasingkan bukan sampah, tetapi bahan mentah," jelasnya.

Konsep popular

Beliau turut menyuarakan ketidakselesaan terhadap budaya pengguna yang menggalakkan pembaziran dan melihat karyanya sebagai bentuk penentangan terhadap trend popular yang berorientasikan penggunaan.

"Kita bercakap tentang kelestarian sebagai konsep popular sekarang, tetapi ini bukan perkara baharu. 

"Malah, kini bahasa pengiklanan pun menggunakan naratif mesra alam,” tambahnya.

Sagdic membuktikan bahawa seni bukan sekadar ekspresi estetik, tetapi juga alat ampuh untuk perubahan sosial dan pemikiran lestari yang lebih luas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram