Usahawan Sugardoll syukur miliki ibu mentua penyayang, sentiasa melindungi


  • Bonda
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Perkahwinan kedua Bella membuka satu lembaran baharu dalam hidup beliau. — Tiktok/Nabilah Nazib

DALAM masyarakat kita, tidak asing untuk mendengar kisah pertelingkahan melibatkan menantu dan ibu mentua.

Ada tidak sebulu, sukar menerima menantu dan ada juga yang renggang hanya kerana perbezaan gaya hidup. 

Namun berbeza pula kisah dikongsikan oleh pengasas jenama penjagaan rambut terkenal, Sugardoll iaitu Nabilah Nazib yang meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan ibu mentua bukan sahaja penyayang, malah melindungi dirinya dalam pelbagai situasi.

BACA LAGI: [VIDEO] Walau keluarga jauh di Singapura, mentua layan Atikah bak puteri, siap dapat rantai emas sempena 'full moon'

BACA LAGI: Tak banding dengan menantu lain, campur urusan rumah tangga anak antara ciri mentua dari 'syurga'

Menurut Nabilah atau lebih mesra disapa Bella, perkahwinan keduanya membuka satu lembaran baharu dalam hidup apabila diterima dengan baik oleh keluarga mentua.

“Dalam keluarga saya, mak dan abah sibuk bekerja, jadi nak makan sekali, mungkin ketika puasa saja. 

"Yang lain kami adik-beradik masing-masing nenek jaga,” tulisnya menerusi aplikasi Thread pada Jumaat.

Sebaliknya kongsi beliau, suaminya datang daripada keluarga yang sangat rapat dan penuh kasih sayang.

Bella (kanan) meluahkan rasa syukur dikurnikan keluarga mentua yang menyayangi dan menerima beliau sepenuh hati. — Tiktok/Nabilah Nazib

Menariknya, ibu dan bapa mentuanya sehingga hari ini masih berjalan bersama sambil berpegangan tangan.

“Nak pergi kedai RM2 pun satu keluarga, lima kereta sebab lima beradik,” ujarnya menggambarkan keakraban keluarga mentua.

Ketika berkahwin, usahawan itu memegang status sebagai ibu tunggal kepada seorang anak.

Namun, ibu mentua dapat menerima kehadiran beliau dan anaknya dengan hati terbuka.

“Mak mentua sayang anak saya mengalahkan cucu yang lain sebab beliau tidak mahu Arman rasa 'luar'," luah beliau.

Menyedari dirinya kurang selesa dalam suasana ramai, terutamanya ketika berkumpul dengan keluarga besar suaminya, ibu mentua sentiasa melindungi reputasi Bella pada mata saudara-mara.

"Saya tak berapa pandai bergaul apabila orang terlalu ramai. Jadi apabila ada majlis, orang (akan) tanya mana si Bella? 

"Daripada cakap berehat di dalam bilik, beliau akan jawab saya di belakang tolong itu ini. Beliau jaga nama baik walaupun saya tiada," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Malah ketika hamil anak pertama bersama suami, ibu mentuanya juga sanggup mengutamakan keselesaannya.

“Masa itu rumah kayu dan panas, mak minta pasangkan pendingin hawa di bilik saya. Mak baik sangat, sayang mak,” ungkap wanita itu.

Hubungan rapat mereka terbukti apabila ibu mentuanya sanggup datang dari Shah Alam, Selangor ke Ampang jika Bella sekeluarga tidak pulang lebih seminggu.

“Tiada istilah ‘menantu kena datang menghadap aku’. Kalau jalan ke mana-mana tetap belikan kesukaan saya. Contohnya, bahulu gulung walaupun kena singgah sana sini nak cari apa yang saya suka," tambah Bella.

Lebih manis, ulang tahun kelahiran Bella dan ibu mentuanya hanya berselisih sehari, yang membuatkan beliau percaya hubungan mereka memang sudah tertulis sejak azali.

“Semoga sampai kepadanya betapa saya sayang dan bersyukur memiliki beliau sebagai mak mentua,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram