[VIDEO] 'Dulu gemparkan Malaysia banyak straight A SPM, sampai hari ini menyinar', Dr. Amalina temu bual Menteri Kesihatan UK curi perhatian


  • Sukses
  • Ahad, 06 Jul 2025

Dr Amalina (kanan) menemu bual Wes Streeting bagi membincangkan pelan masa depan perkhidmatan kesihatan UK.

PAKAR bedah kelahiran Malaysia yang kini berkhidmat di United Kingdom (UK), Dr. Amalina Che Bakri mencuri tumpuan selepas diberi peluang untuk menemu bual Menteri Kesihatan UK, The Rt Hon Wes Streeting secara eksklusif.

Difahamkan temu bual itu diadakan bagi membincangkan pelan masa depan perkhidmatan kesihatan negara itu.

Berkongsi perkara itu menerusi laman Instagram miliknya, Dr. Amalina menyatakan keterujaan dapat berbicara secara langsung dengan figura berkenaan mengenai Pelan Kesihatan 10 Tahun NHS England yang bakal dilaksanakan dengan peruntukan mencecah £29 bilion (RM167 bilion).

BACA LAGI: Comel kenakan pakaian sedondon bersama si kecil, Dr. Amalina selamat timang puteri kedua

BACA LAGI: [VIDEO] Trauma dikurung di bilik gelap, Miss Somalia perjuang hapus tradisi FGM

“Kami berbincang tentang tiga perkara utama. Dalam bahagian pertama, menyentuh tentang bagaimana teknologi perubatan (MedTech) akan diintegrasikan ke dalam amalan klinikal harian,” katanya pada Sabtu.

Menurut beliau, pelan jangka panjang itu memberi tumpuan kepada tiga anjakan besar dalam sistem penjagaan kesihatan.

Jelasnya, ia termasuk mengalihkan penjagaan dari hospital ke komuniti, transformasi sistem daripada analog ke digital dan menukar pendekatan dari merawat penyakit kepada pencegahan.

Dr. Amalina turut meluahkan keterujaan untuk melihat bagaimana pelan tersebut dapat membentuk masa depan perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, cepat dan menyeluruh untuk masyarakat di seluruh England.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya khususnya rakyat Malaysia tidak menyembunyikan rasa bangga terhadap pencapaian ibu kepada dua cahaya mata itu, yang sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Anda memang benar-benar hebat. Saya boleh nampak kekuatan, keanggunan dan dedikasi dalam diri anda.

"Anda bukan saja membanggakan ibu bapa, tetapi juga Malaysia. Saya sangat bangga dengan Dr. Amalina. Dulu pernah menggemparkan Malaysia dengan banyaknya straight A. Sampai ke hari ini masih menyinar!” tulis pengguna akaun @sitinuryuyu.

Sementara itu, @jineava pula mengakui bangga menyaksikan Dr. Amalina berupaya memainkan peranan penting dalam usaha penambahbaikan sistem Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) UK.

“Harapnya doktor-doktor di Malaysia juga boleh belajar daripada kemajuan teknologi negara maju demi memperkukuh sistem kesihatan negara kita,” ujarnya.

Kejayaan Dr. Amalina sekali lagi membuktikan bahawa anak Malaysia mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia, tidak kira di mana mereka berada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram