
BERGELAR suri rumah sepenuh masa merupakan antara impian setiap wanita usai mendirikan rumah tangga.
Antara faktor utama mendorong keputusan itu semestinya ingin memberikan fokus sepenuhnya terhadap soal penjagaan rumah tangga di samping keselamatan anak-anak.
Namun, segelintir daripadanya khususnya wanita generasi Gen-Z memilih untuk mengejar karier dan kerjaya diimpikan sebelum melepaskan jawatan demi keluarga.
BACA LAGI: Visi Sheikha Mozah realisasikan Al-Mujadilah Center, masjid khas wanita pertama di dunia
BACA LAGI: [VIDEO] Cef cilik 'bestchefkamol' jadi inspirasi, contoh, terap amalan positif buat anak-anak
Bahkan, tidak dinafikan rata-rata wanita di Malaysia kebanyakannya memiliki pendapatan stabil seiring dengan kedudukan tinggi sama ada di pejabat ataupun yang bergelar usahawan.
Merupakan kebiasaan dalam kalangan masyarakat tempatan, hal itu walau bagaimanapun menjadi pertikaian golongan warga asing bekerja di Malaysia yang menyifatkan ia sebagai perkara tidak wajar.
Lebih memberatkan tanggungjawab lelaki sebagai punca rezeki keluarga, seorang individu dipercayai warga Bangladesh berkongsi pendapatnya menerusi perkongsian di TikTok baru-baru ini.
"Perempuan Malaysia semua kerja macam mana, kalau di Bangladesh lelaki kerja perempuan tidak, duduk saja jaga rumah.
"Duit ke baju, telefon, makan semua suami sediakan, perempuan makan tidur saja, Malaysia semua perempuan mahu kerja," ujarnya berseloroh.
Biarpun sekadar gurauan, warga maya terutamanya golongan wanita tempatan melihat ia sebagai perkara yang wajar dicontohi oleh golongan lelaki yang bergelar suami.
Tidak kurang juga individu yang mencemburui wanita Bangladesh kerana ditanggung sepenuhnya oleh sang suami dan bebas daripada sebarang tekanan kerja.
"Perempuan Bangladesh juga yang untung, princess treatment, kat sini semua kena 50/50 kongsi pendapatan dengan suami," kata Bubble.
"Betul, Bangladesh bila dah kahwin yang perempuan duduk rumah tak payah kerja, cara sana macam dekat Pakistan utamakan suami yang mencari nafkah," ujar cik fateen.
"Ada baiknya kalau lelaki Malaysia fahamkan konsep macam ni, tak perlu memaksa si isteri bekerja demi tampung kewangan keluarga apatah lagi yang kongsi 50/50, tapi ada juga yang memang jenis wanita bekerjaya," tambah anisssofea.
Terdahulu, penceramah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus (UAI) pernah mengulas segala persoalan berbangkit berkaitan hal berkenaan.
Katanya, suami wajib menyediakan nafkah serta keperluan keluarga dan individu culas dalam perkara itu dianggap seperti berhutang dengan isterinya.
"Isu paling banyak dalam Malaysia ialah suami tak bayar nafkah sebab isteri sudah bekerja atau suami itu memang jahat.
"Padahal seorang suami wajib beri nafkah makan, minum, tempat tinggal dan pakaian sampai mati walaupun isteri dia itu jutawan, jangan main-main.
"Isteri tak wajib keluarkan satu sen pun dalam hal rumah tangga, kalau suami tak bagi maka akan jadi hutang sampai mati," katanya.
Tidak meletakkan kesalahan penuh kepada golongan lelaki, sebaiknya isu pendapatan dan nafkah diselesaikan secara baik menerusi perbincangan sama suami isteri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram