Tak sempat jumpa anak sulung, pemain bola sepak Palestin maut akibat serangan peluru berpandu Israel


  • Maya
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Muhannad mengalami kecederaan serisus selepas dron tentera Israel melepaskan serangan ke arah bilik tidurnya. — Agensi

PEMAIN bola sepak Palestin, Muhannad Al-Lili disahkan meninggal dunia pada Khamis lalu selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah dalam serangan peluru berpandu Israel yang terkena kediamannya di kem pelarian Maghazi, Gaza Tengah.

Memetik laporan berita antarabangsa, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) menerusi satu kenyataan memaklumkan, Muhannad yang merupakan pemain kelab Khadamat Al-Maghazi mengalami trauma serius pada kepala dan pendarahan besar selepas dron tentera Israel melepaskan serangan ke arah bilik tidurnya di tingkat tiga.

Menurutnya, kejadian tragis itu berlaku pada Isnin lalu sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir beberapa hari kemudian.

BACA LAGI: Derita anak Palestin kudung tangan akibat perang dipilih foto terbaik World Press Photo 2025

BACA LAGI: [VIDEO] Wartawan wanita Palestin maut serangan udara Israel, sehari selepas karya terpilih Festival Filem Cannes

Sebahagian kanak-kanak yang mendapat perlindungan di kem pelarian Maghazi, Gaza Tengah. — Agensi

Lebih memilukan, Muhannad tidak sempat bertemu anak sulungnya yang dilahirkan di luar negara ketika perang sedang berlangsung. 

Difahamkan, isterinya yang berada di Norway atas urusan kerja melahirkan anak mereka ketika Muhannad masih terperangkap di Gaza dan gagal mendapatkan laluan keluar yang selamat.

Untuk rekod, Muhannad memulakan kariernya dalam sukan bola sepak di kelab Khadamat Al-Maghazi sejak remaja sebelum menyinar bersama pasukan utama yang berjaya mara ke Liga Perdana Palestin musim 2016/2017.

Bakatnya kemudian menarik perhatian kelab Shabab Jabalia, dengan beliau membantu pasukan itu menamatkan musim 2018/2019 sebagai naib juara. 

Beliau kemudiannya menyertai Gaza Sports Club namun mengalami kecederaan ligamen krusiat yang menjejaskan aksinya di padang, sebelum kembali semula ke kelab asalnya, Khadamat Al-Maghazi.

Menurut rekod rasmi PFA, pemergian Muhannad menambah senarai panjang kehilangan dalam komuniti bola sepak Palestin, menjadikan angka korban dalam kalangan pemain kini mencecah 265 orang. 

Tragedi yang menimpa Muhannad bukan sahaja menggambarkan penderitaan berterusan rakyat Gaza akibat serangan tanpa henti, malah meragut impian seorang ayah muda yang tidak sempat memeluk zuriatnya sendiri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram