Wanita Myanmar temui cinta sejati bersama jejaka Melayu di Mentari Court


  • Massa
  • Rabu, 19 Jul 2023

Warga Myanmar di negara ini kerap meraih kecaman dalam kalangan penduduk tempatan. — Agensi

PERSEPSI masyarakat terhadap golongan warga asing yang menetap di negara ini kebanyakannya lebih tertumpu kepada sisi negatif yang menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI).

Tidak dinafikan bahawa isu PATI di negara ini sememangnya kian meruncing dengan lambakan pendatang asing telah mula menguasai sektor pekerjaan khususnya di kawasan bandar.

Namun, kebanyakan daripada golongan terbabit sudah mula mendapat kerakyatan yang sah dengan kad pengenalan diri MyKad juga diberikan kepada mereka yang sudah lama menetap ataupun berkahwin dengan rakyat di negara ini.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi tinjauan Majoriti di sebuah Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Kediaman tersebut yang diduduki ramai golongan warga asing, meraih kecaman di laman TikTok baru-baru ini dengan penduduk tempatan mendakwa keselamatan mereka kian terancam di situ.

mentara'

Pangsapuri Mentari Court menerima kecaman warganet di TikTok susulan lambakan pendatang asing yang menetap di kediaman tersebut.

Namun, seorang wanita Myanmar di kediaman berkenaan meluahkan pendapatnya berhubung perkara tersebut.

Swe Zin Htet, 31, menafikan pandangan tersebut dengan dia juga telah bergelar isteri kepada lelaki warga tempatan di kediaman terbabit.

"Saya tahu ada yang kurang suka dengan kehadiran kami di Malaysia, tetapi kami bukan orang jahat, cuma ingin bekerja dan mencari rezeki di negara ini.

"Saya juga sudah berkahwin dengan lelaki tempatan dan mempunyai seorang anak lelaki yang dilahirkan di sini, jadi bukan semua pendatang itu ada niat tidak baik," katanya kepada Majoriti.

myannn

Swe Zin Htet bersama anaknya ketika ditemu bual wartawan.

Ketika ditanya faktor yang membuatkan dirinya selesa dan kekal menetap di Malaysia, wanita Myanmar itu berkata, penduduk setempat khususnya di Mentari Court tidak pernah memandang serong ataupun menghina kedatangannya di kawasan tersebut.

Dengan sikap toleransi serta budaya hormat menghormati dimiliki penduduk tempatan, membuatkan dia berasa selesa dengan statusnya sebagai pendatang di negara ini.

"Orang di sini semuanya baik-baik dan tidak pernah mengancam keselamatan kami sekeluarga.

"Meskipun suami saya kerap keluar bekerja, saya tidak malu untuk membawa anak bermain di taman permainan ataupun kolam renang di kawasan ini.

"Kemudahan seperti kedai makan dan pasar raya juga banyak tersedia dan pangsapuri ini boleh dikatakan kawasan selamat buat saya dan juga orang ramai," ujarnya.

Justeru, dengan perkongsian tersebut diharapkan orang ramai tidak menganggap kesemua pendatang di negara ini sebagai penjahat dengan status kewarganegaraan mereka juga akan sentiasa disiasat pihak penguatkuasa menerusi operasi tangkapan yang dijalankan.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pendatang haram di negara ini diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram