Balut anak dengan daun, sapu minyak panas antara kecuaian ibu bapa ketika anak sakit — Pakar


  • Bonda
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Kecuaian ibu bapa dalam memantau kesihatan anak boleh mengundang risiko tinggi terhadap jangkitan kuman. — Gambar hiasan/Freepik

KESIHATAN anak merupakan keutamaan dan  tanggungjawab para ibu bapa.

Tidak dinafikan, sektor perubatan negara sentiasa menyediakan fasiliti terbaik dalam merawat dan membaik pulih pesakit selain menjadi solusi kepada sebarang isu kesihatan kanak-kanak.

Namun, segelintir ibu bapa masih belum cakna akan tindakan dan perubatan wajar buat anak-anak sekiranya berdepan situasi kecemasan.

BACA LAGI: Elak makanan bergula, 'pisahkan' gajet antara 5 tip bantu si kecil tidur lebih lena — Pakar

BACA LAGI: Deepika Padukone cipta sejarah, artis Bollywood pertama terima bintang Hollywood Walk of Fame 2026

Panik, terburu-buru dan terlampau memandang ringan merupakan antara kesilapan ibu bapa dalam mengatasi isu kesihatan anak, sekali gus berisiko tinggi kepada masa depan si kecil.

Pakar perubatan kanak-kanak, Dr. Baljit Kaur menerusi hantaran di Threads, berkongsi beberapa kesilapan dan kecuaian sering dilakukan ibu bapa dalam berdepan situasi sedemikian.

Jelasnya, kebergantungan terhadap perubatan dan amalan tradisional juga menjadi salah satu daripada persepsi yang perlu diubah segera.

1. Terus beri antibiotik

Ramai ibu bapa beranggapan semua penyakit terutamanya demam memerlukan ubat antibiotik.

Namun hakikatnya, kebanyakan demam pada kanak-kanak berpunca daripada jangkitan virus dan antibiotik tidak berkesan dalam merawat perkara tersebut.

"Bukan semua demam perlukan antibiotik, kebanyakan jangkitan pada kanak-kanak disebabkan virus dan antibiotik tak berkesan untuk virus," katanya.

2. Menunggu terlalu lama

Tindakan menunggu sehingga anak terlalu lemah, tidak aktif atau kelihatan sangat lesu sebelum ke klinik adalah satu kesilapan besar.

Anak yang kurang minum, kurang kencing atau bernafas dengan cepat perlu dibawa segera ke klinik atau hospital.

Jelasnya, tindakan yang lambat boleh menyebabkan komplikasi serius, terutamanya dalam kes jangkitan.

3. Salah dos ubatan

Segelintir ibu bapa cuai dalam memberi ubat demam terlalu awal, kerap atau menunggu terlampau lambat tanpa kawalan dos sepatutnya.

Penggunaan ubat tidak mengikut dos boleh menjejaskan keberkesanan atau keselamatan pesakit, maka sebaiknya patuh panduan dos berdasarkan berat badan anak dan jarakkan masa dengan betul setiap empat hingga enam jam.

4. Larang mandi ketika demam

Salah satu mitos yang masih dipercayai dan menjadi amalan ramai ialah melarang anak mandi ketika demam.

Hakikatnya, mandi dengan air suam boleh membantu menurunkan suhu badan dan memberi keselesaan kepada si kecil.

"Sebenarnya, mandi air suam boleh bantu turunkan suhu badan, jangan biar anak tak mandi dua hingga tiga hari, ia boleh buat anak lebih lemah dan tak selesa," ujarnya.

5. Perubatan tradisional

Antara kaedah rawatan tradisional yang berisiko tinggi termasuklah membalut badan anak dengan daun, menyapu minyak panas secara berlebihan atau meniup ke dalam telinga anak.

Walaupun sesetengah petua mungkin diwarisi turun-temurun, ia boleh mendatangkan bahaya jika tidak dipantau secara klinikal.

6. Tiada pantauan rapi

Tanda-tanda seperti demam melebihi tiga hari, ruam yang muncul tiba-tiba, sukar bernafas, atau sawan merupakan amtara simptom penting untuk anak segera diberikawan rawatan doktor.

Persepsi bahawa anak boleh pulih sendiri daripada demam merupakan fahaman salah dan boleh memudaratkan jika dibiarkan melebihi 72 jam.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam setiap tindakan dan situasi terutamanya melibatkan kesihatan anak.

Kesilapan kecil boleh membawa padah, kepercayaan dan kebergantungan terhadap petua serta mitos sebagainya perlu dielakkan dengan keutamaan sepatutnya tertumpu kepada pakar perubatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram