[VIDEO] 'Dia autisme', staf 'perang mulut' dengan ibu kepada budak lelaki dikatakan cuba putar nat peralatan kecemasan MRT


  • Bonda
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Tangkap layar memaparkan situasi ketegangan melibatkan seorang kakitangan MRT dengan seorang wanita baru-baru ini.

SEORANG kakitangan khidmat pelanggan di satu syarikat pengangkutan awam di Singapura terlibat dalam pertengkaran dengan seorang penumpang wanita selepas anaknya dipercayai mengganggu peralatan kecemasan di dalam sebuah tren sistem transit massa (MRT) Laluan Downtown.

Rakaman kejadian itu dimuat naik pengguna TikTok @yuanquan.sg pada 26 Jun lalu tular menyaksikan pertengkaran berlaku di dalam tren menuju ke stesen MRT Geylang Bahru.

Menurut keterangan dalam video tersebut, seorang budak lelaki dilihat berada di bahagian hadapan tren sebelum ditegur oleh kakitangan bertugas kerana dipercayai cuba memutar nat pada peralatan kecemasan, selepas gagal menanggalkan pelekat keselamatan.

BACA LAGI: Risau meninggal dunia dahulu, ibu bapa harap Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) segera jadi realiti

BACA LAGI: Risau meninggal dunia dahulu, ibu bapa harap Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) segera jadi realiti

Kanak-kanak itu kemudian kembali kepada ibunya, yang tidak berpuas hati dengan cara staf lelaki berkenaan menegur anaknya, sehingga tercetus pertengkaran antara kedua-dua pihak.

Dalam rakaman video itu, lelaki tersebut memberitahu bahawa segala kejadian telah pun dirakam.

"Segala-galanya dirakam," sambil menegaskan kanak-kanak itu terus bermain walaupun telah ditegur.

Menambah kemarahan kepada kakitangan tersebut apabila melihat budak itu masih boleh tersenyum selepas dimarahi.

Wanita itu kemudian memaklumkan bahawa anaknya itu menghidap autisme.

“Sebab dia ada autisme, encik tahu apa itu autisme atau tidak?” soal beliau.

Kakitangan tersebut menegaskan, wanita itu seharusnya mengawasi keadaan anaknya sendiri.

"Itu bukan kerja saya. Kalau saya biarkan dia buka (pintu), nanti 1,000 orang kena jalan ke stesen seterusnya, saya nak tutup dua stesen sebab awak ke?” soalnya lagi.

Insiden itu berakhir dengan beberapa pegawai Pasukan Polis Pengangkutan (TransCom) dilihat mengiringi wanita berkenaan dan dua anaknya keluar dari tren di stesen berikutnya.

Dalam perkembangan sama, seorang saksi kejadian tampil mendakwa, insiden tersebut sebenarnya tidak melibatkan sebarang gangguan terhadap pintu kecemasan seperti dilaporkan sebelum ini.

“Ini bukan kisah sebenar, ia tiada kena-mengena dengan pintu kecemasan. Anak istimewa itu hanya menyentuh salah satu pelekat di stesen, tanpa mencabutnya,” jelasnya menerusi ruangan komen.

Tambah saksi itu, kakitangan berkenaan dilihat berulang kali meminta ibu kanak-kanak tersebut supaya tidak membiarkan anaknya mengupas pelekat berkenaan.

“Si ibu sudah pun meminta maaf, tetapi sebenarnya lelaki tersebut yang terlebih dahulu menengking dan meninggikan suara,” katanya lagi.

Situasi menjadi semakin tegang apabila si ibu mengambil keputusan beredar ke lokasi lain dalam tren bagi meredakan keadaan.

Namun, kakitangan terbabit didakwa terus mengekori dan membebel sambil meninggikan suara, menyebabkan kejadian tersebut dirakam oleh salah seorang penumpang sebelum tular di media sosial.

“Saya berada di sana semasa kejadian berlaku. Kakitangan itu perlukan lebih banyak latihan.

"Beliau tidak sepatutnya berada di barisan hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap syarikat pengangkutan awam tersebut, Grace Wu, mengesahkan kejadian berkenaan dan menjelaskan, kakitangan itu menyaksikan tindakan kanak-kanak tersebut yang berada tanpa pengawasan cuba mengganggu peralatan keselamatan.

“Kakitangan kami kemudiannya menghampiri penjaga kanak-kanak tersebut untuk memaklumkan keadaan,” katanya.

Tambah beliau, walaupun kebimbangan kakitangannya berasas dari segi keselamatan, pendekatan yang digunakan seharusnya lebih tenang dan profesional," maklumnya.

Syarikat itu turut memohon maaf atas sebarang tekanan yang mungkin dialami oleh penjaga kanak-kanak berkenaan dan mengingatkan semua penumpang supaya sentiasa mengawasi anak-anak demi keselamatan bersama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram