
SEIRING perkembangan teknologi semasa, kanak-kanak juga melalui fasa perubahan dari segi bahasa dan pertuturan digunakan baik di rumah mahupun sekolah.
Namun, pengaruh video dan drama dari luar negara misalnya Indonesia semakin mendominasi budaya dan fahaman masyarakat tempatan terutamanya golongan pelajar sekolah.
Tidak meletakkan kesalahan penuh kepada pihak berkenaan, namun tontonan tanpa kawalan dan pemahaman yang betul dikhuatiri boleh mengakibatkan kecelaruan bahasa di kalangan generasi muda hari ini.
BACA LAGI: Elak makanan bergula, 'pisahkan' gajet antara 5 tip bantu si kecil tidur lebih lena — Pakar
BACA LAGI: Deepika Padukone cipta sejarah, artis Bollywood pertama terima bintang Hollywood Walk of Fame 2026
Situasi itu digambarkan oleh seorang guru menerusi akaun Facebook @Cikgu Gja yang menyifatkan apabila rata-rata pelajarnya lebih banyak menggunakan bahasa dari negara seberang berbanding bahasa kebangsaan ketika menulis karangan.
Jelasnya, pengaruh drama sinetron Indonesia telah menyebabkan pelajar-pelajarnya keliru dalam penggunaan tatabahasa dan maksud sesebuah perkataan.
"Perkataan yang cikgu jumpa 'merencanakan', 'rumah sakit', 'teman' memang lah dalam bahasa Melayu ada perkataan itu, tapi penggunaan yang sesuai adalah kawan.
"Kami pergi berkelah bersama kawan-kawan, rakan-rakan, ini kamu tulis bersama teman-teman, nampak sangat guna bahasa Indonesia, banyak yang cikgu jumpa dalam karangan kamu ni.
"Kurang-kurang sikit tengok pengisian (content) Indonesia tu, jangan terbawa-bawa dalam cerita awak tu dengan bahasa Indonesia, salah," katanya di laman sosial pada Jumaat.
Titip Cikgu Gja menerus ruangan kapsyen, "Cikgu bebel bukan suka-suka. Tolong ya ibu bapa pantau konten yang anak-anak tonton.
"Sebab sekarang karangan murid penuh perkataan macam 'berencana', 'teman-teman', 'rumah sakit'. Apa mereka tengok itulah mereka tulis."
Dalam pada itu, perkongsian tersebut meraih perhatian ramai khususnya golongan tenaga pengajar yang juga mengalami nasib sama di sekolah masing-masing.
Bagaikan trend dalam kalangan pelajar, kebanyakan daripadanya gemar menggunakan bahasa ataupun dialek Indonesia dalam sesi pembelajaran di kelas.
Menyifatkan isu tersebut sebagai salah satu masalah besar dihadapi sektor pendidikan negara ketika ini, generasi masa kini seolah-olah tiada idea ataupun buntu dalam menghasilkan sebuah karangan yang berkualiti.
Perkongsian salah seorang guru yang terkesan dengan hantaran Cikgu Azizah di Instagram.
Pun begitu, kesemua guru yang meninggalkan komen pada hantaran tersebut tetap cekal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai warga pendidik.
Berdepan pelbagai cabaran dalam dunia digital yang semakin moden, diharapkan agar golongan ibu bapa ataupun penjaga sentiasa memantau bahan tontonan si kecil agar bahasa Malaysia terus dimartabatkan dalam penggunaan harian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram