Deepika Padukone cipta sejarah, pelakon wanita Bollywood pertama terima bintang Hollywood Walk of Fame 2026


  • Hiburan
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Deepika Padukone mencipta sejarah tersendiri apabila tersenarai sebagai penerima bintang pada Hollywood Walk Of Fame 2026.

PELAKON ternama Bollywood, Deepika Padukone mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai salah seorang penerima bintang di Hollywood Walk of Fame bagi 2026.

Pengumuman tersebut menjadikannya sebagai wanita India pertama tersenarai dalam penghargaan berprestij itu selepas diumumkan secara rasmi oleh Hollywood Chamber of Commerce pada Rabu.

Antara selebriti lain turut tersenarai bagi tahun sama ialah Miley Cyrus, Timothée Chalamet, Emily Blunt dan Demi Moore.

BACA LAGI: Isteri bukan cerminan kita, tapi peringatan dari ALLAH — Saharul Ridzwan

BACA LAGI: Elak makanan bergula, 'pisahkan' gajet antara 5 tip bantu si kecil tidur lebih lena — Pakar

Pencapaian itu menjadi momen bersejarah buat pelakon cantik tersebut sekali gus mengekalkan pengaruhnya di pentas global selepas kali pertama menjejak kaki di pentas Hollywood menerusi filem xXx: Return of Xander Cage pada 2017.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Warner Bros Television dan pengerusi jawatankuasa pemilihan Walk of Fame, Peter Roth turut memuji peranan dan sumbangan kesemua nama tersenarai pada penghargaan tersebut.

"Kami teruja untuk mengumumkan pilihan terbaharu daripada 35 individu dihormati yang akan disenaraikan dalam Walk of Fame sebagai sebahagian daripada Kelas berprestij 2026.

"Individu berbakat ini telah memberikan sumbangan besar kepada dunia hiburan dan kami sangat teruja untuk memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada mereka," katanya menerusi kenyataan.

Selain menyumbang kepada reputasi perfileman Bollywood, Deepika juga turut menjadi inspirasi dalam pelbagai bidang seni lain seperti lakonan, fesyen dan kecantikan.

Bidang lakonan

1. Debut bersama Shah Rukh Khan

Deepika mula mencipta nama menerusi filem popular Bollywood, Om Shanti Om (2007), hasil gandingannya bersama Datuk Shah Rukh Khan.

Susulan kejayaan naskhah itu, kariernya kian memuncak hingga dinobatkan sebagai pemenang anugerah Filmfare Award for Best Female Debut.

2. Pelakon versatil

Deepika dikenali kerana kebolehannya dalam melakonkan pelbagai peranan berbeza bermula dari watak dramatik dalam Piku dan Chhapaak, kepada watak epik dalam Bajirao Mastani serta aksi Hollywood dalam xXx: Return of Xander Cage.

3. Pengiktirafan global

Ibu kepada seorang cahaya mata itu merupakan antara pelakon Bollywood mendapat pengiktirafan antarabangsa dan disenaraikan oleh Time Magazine sebagai salah satu 100 individu paling berpengaruh di dunia pada 2018.

Bidang kecantikan

1. Wajah utama jenama global

Deepika membuktikan daya tarikannya kekal relevan di peringkat global selepas menjadi duta beberapa jenama antarabangsa seperti L’Oréal Paris, Estée Lauder dan terbaharu, Cartier.

2. Pengasas produk kecantikan

Pada 2022, Deepika melancarkan produk kosmetik kecantikannya sendiri iaitu 82°E (Eighty Two East), yang memberi fokus kepada penjagaan kulit berasaskan sains dan tradisi India.

3. Kecantikan semula jadi

Deepika sering dipuji kerana tidak bergantung sepenuhnya kepada solekan tebal selain sentiasa mempromosikan kecantikan semula jadi dan kesihatan dalaman.

Bidang fesyen

1. Ikon gaya global

Terkenal dengan gaya berani dan elegan, isteri kepada pelakon popular, Ranveer Singh tersebut sentiasa mencuri perhatian peminat dalam acara karpet merah fesyen antarabangsa seperti Cannes Film Festival, Met Gala dan IFFA.

2. Kolaborasi pereka terkemuka

Selain meminati dunia fesyen dan peragaan, Deepika juga kerap menerima tajaan serta menjadi duta pereka ternama seperti Sabyasachi, Zuhair Murad, Prabal Gurung dan Gauri & Nainika.

3. Pengaruh pentas global

Pada 2022, Deepika mencipta sejarah sebagai wanita india pertama yang dilantik sebagai House Ambassador Louis Vuitton, salah satu jenama fesyen mewah paling ikonik di dunia.

Dilabel sebagai pelopor gaya fusion India-Barat, Deepika juga kerap tersenarai dalam kategori 'Most Stylish Women in the World' oleh majalah seperti GQ, Vanity Fair, dan Vogue. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram